Barang bawah RM500 akan dikenakan cukai mulai 1 Januari 2024
Cukai barang bernilai rendah sebanyak 10 peratus ke atas barang berharga di bawah RM500 yang dijual secara dalam talian berkuat kuasa 1 April, 2023
KUALA LUMPUR 16 Dis – Malaysia akan mula mengenakan cukai jualan sebanyak 10 peratus ke atas barang bernilai rendah yang dijual secara dalam talian mulai 1 Januari 2024, demikian menurut Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam).
Malaysia sepatutnya mengenakan cukai barang bernilai rendah sebanyak 10 peratus ke atas barang berharga di bawah RM500 yang dijual secara dalam talian berkuat kuasa 1 April, 2023, di bawah Belanjawan 2022, tetapi ditangguhkan oleh Kastam pada Mac tahun ini.
Menerusi soalan lazim mengenai cukai jualan barang bernilai rendah yang diterbitkan di laman sesawang Kastam pada 6 November 2023, jabatan itu berkata, pengenaan cukai jualan ke atas barang bernilai rendah akan bermula pada 1 Januari 2024, walaupun perundangan cukai jualan ke atas barang bernilai rendah berkuat kuasa mulai 1 Januari 2023.
Kastam mentakrifkan barang bernilai rendah sebagai semua barangan tidak termasuk rokok, produk tembakau, minuman keras yang memabukkan, rokok elektronik, dan penyediaan sejenis yang digunakan untuk merokok, yang dijual pada harga tidak melebihi RM500, dan dibawa masuk ke Malaysia melalui jalan darat, laut atau udara.
Mereka yang menjual barang bernilai rendah di platform dalam talian atau mengendalikan pasaran dalam talian untuk penjualan dan pembelian barang bernilai rendah mesti mendaftar dengan Kastam, jika jumlah nilai jualan barang bernilai rendah yang dibawa masuk ke Malaysia melebihi RM500,000 dalam tempoh 12 bulan.
Secara berasingan, Kastam turut menerbitkan satu set garis panduan mengenai pelaksanaan cukai jualan barang bernilai rendah di portalnya bertarikh 3 November 2023.
Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut, orang ramai boleh mengunjungi laman sesawang JKDM di http://www.customs.gov.my/en/pages/main.aspx. – BERNAMA