Harga barang naik, masa terbaik jika kerajaan benarkan pengeluaran KWSP bersasar – PGIRM
Pencarum KWSP daripada golongan B40 terkesan dengan kenaikan harga barang yang semakin menghimpit
KUALA LUMPUR 19 Sept – Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) menggesa kerajaan meluluskan segera pengeluaran KWSP bersasar susulan harga barangan mentah yang semakin meningkat baru-baru ini.
Timbalan Presiden PGIRM, Mohamad Fazil Ibrahim berkata, sudah tiba masanya kerajaan memberi perhatian terhadap isu kewangan rakyat yang semakin terhimpit lebih-lebih lagi apabila berlaku kenaikan harga barangan di pasaran.
“Beban yang dipikul rakyat kini amat berat sehingga ada pencarum yang tercicir kerana terpaksa menanggung pebagai masalah termasuk kos sara hidup.
“Malah, ramai yang terpaksa berhutang dengan ahli keluarga dan lebih membimbangkan ada yang menggunakan khidmat pinjaman wang tidak berlesen sehingga memakan diri.
“Dengan pengeluaran khas KWSP bersasar ia dapat meringakan beban pencarum dan dapat bangkit semula demi kelangsungan hidup,” katanya kepada Xklusif, di sini, hari ini.
Katanya lagi, keprihatinan pihak kerajaan menangani isu kenaikan harga barang dan kos sara hidup amat diperlukan.
“Kerajaan perlu melihat penyelesaian harga beras secara menyeluruh. Sehingga ke hari ini tiada sebarang tindakan yang diambil oleh pihak kerajaan tentang kegusaran rakyat berkaitan isu kenaikan harga beras,” katanya.
PGIRM turut senada dengan kenyataan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) di Dewan Rakyat semalam yang menyatakan kerajaan perlu menghentikan segala peruntukan dan pembangunan, sebaliknya memberi tumpuan kepada kenaikan harga beras tempatan, cili kering, bawang merah dan bawang putih.
Namun usul yang dibawakan oleh beliau telah ditolak oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat atas alasan usul Datuk Seri Shahidan Kassim tidak terjumlah di bawah urusan majlis khas yang telah ditetapkan.
“Adalah sukar dan memakan masa untuk menunggu jawapan dari pihak Menteri berkaitan isu kenaikan harga ini.
“Kerajaan perlu lakukan tindakan drastik dengan mengadakan perjumpaan bersama pengeluar-pengeluar beras di luar negara iaitu India, Myanmar, Vietnam atau mana-mana negara pengeluar beras terbesar untuk membincangkan dan meminta bekalan beras dengan harga yang berpatutan dan tidak membebankan rakyat yang telah terkesan.
“Pihak kerajaan juga perlu membuat tinjauan di dalam negara berkenaan isu kekurangan beras sehingga berlakunya kenaikan harga beras,” katanya.
Jika terdapat sebarang penyelewangan atau ada pihak yang menyembunyikan bekalan beras, pihak kerajaan perlu membuat tindakan yang tegas agar perkara ini dapat ditangani segera dan ianya dapat mengurangkan tekanan kepada rakyat yang semakin tertekan dengan kenaikan harga. – Xklusif