Berita

Harga ubat dijangka naik 5 ke 10 peratus

Perkara itu bakal berlaku jika syarikat pembuatan ubat di Amerika Syarikat (AS) bertindak menaikkan harga pasaran.

KUALA LUMPUR 26 Jan. – Harga ubat-ubatan dan produk farmaseutikal di negara ini dijangka meningkat lima hingga 10 peratus tidak lama lagi.

Memetik laporan The Star, Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Profesor Amrahi Buang berkata, ramalan itu bakal berlaku sekiranya syarikat pembuatan ubat di Amerika Syarikat (AS) bertindak menaikkan harga pasaran.

Hal ini kerana menurutnya, lebih daripada separuh produk farmaseutikal yang memasuki negara ini diimport dari sana.

“Kebiasaannya setiap tahun harga akan meningkat sebanyak dua kali, tetapi bergantung kepada berapa banyak.

“Walaupun dalam peringkat endemik, pembuatan farmaseutikal terjejas kerana kelewatan dalam menyediakan bahan mentah, bahan farmaseutikal aktif dan penghantaran.

“Kami telah melihatnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sebarang perubahan harga akan beri kesan kepada semua pihak berkepentingan termasuk pengimport, pengedar, pembekal dan peruncit,” katanya ketika dihubungi media pada Jumaat.

Disember lalu, Reuters melaporkan bahawa syarikat farmaseutikal merancang untuk menaikkan harga di AS lebih daripada 500 ubat pada awal Januari ini, menurut data yang dianalisis oleh firma penyelidikan penjagaan kesihatan, 3 Axis Advisors.

Wall Street Journal pada 18 Januari pula memaklumkan syarikat menaikkan harga bagi 775 produk ubat termasuk jenis Ozempic dan Mounjaro yang digunakan untuk merawat diabetes, bermula awal tahun baharu lalu.

Profesor Amrahi turut menjelaskan, ubat bagi penyakit kronik seperti hipertensi dan diabetes cenderung lebih sensitif terhadap ketidakstabilan perubahan harga berbanding dengan yang biasa seperti ubat demam, selesema atau sengal badan.

Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM), Dr Shanmuganathan Ganeson berkata, harga produk farmaseutikal dan kesemua barangan keperluan akan terus meningkat disebabkan kenaikan kos input di seluruh dunia merangkumi bahan mentah, buruh, tenaga serta cukai kerajaan.

“Di negara ini (Malaysia) khususnya akan menyaksikan peningkatan minimum dua peratus dengan kenaikan cukai perkhidmatan dua peratus terutamanya logistik mulai tahun ini.

“Ia bukan sahaja bergantung kepada kos input, tetapi juga kadar pertukaran mata wang asing dengan dolar AS, Ringgit Malaysia (RM) telah menurun berbanding semua mata wang utama sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan saya tak pasti berapa banyak lagi akan turun,” ujar beliau.

Dr Shanmuganathan tidak menafikan bahawa kenaikan harga ubat di AS bakal menjadi rangsangan dan ikutan bagi industri farmaseutikal dari negara lain.

“Harga barang selalu berdasarkan kepada konsep pasaran bebas iaitu permintaan berbanding penawaran, apabila kekangan bekalan timbul, siapa yang boleh membayar harga tertinggi akan sentiasa mendapatkannya terlebih dahulu.

“Lagipun perniagaan bukan organisasi amal, mereka berada di sini untuk menjana keuntungan,” jelasnya. — Sinar Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Check Also
Close
Back to top button