Harrison dedah punca utama tinggalkan UMNO, ikut PN
Pendirian hakikinya adalah untuk berjuang demi kepentingan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

KUALA SELANGOR 5 Ogos – Calon Perikatan Nasional (PN), DUN Jeram, Datuk Harrison Hassan mendedahkan punca utama meninggalkan Barisan Nasional (BN) adalah kerana perjuangannya sudah tidak selari dengan parti keramat itu.
Menurut Harrison yang juga bekas Timbalan Ketua UMNO Sungai Buloh, pendirian hakikinya adalah untuk berjuang demi kepentingan rakyat tanpa mengira kaum dan agama dan beliau melihat PN mempunyai persamaan dengan perjuangannya itu.
“Ramai yang kecam, pandang sinis apabila saya berpindah parti (daripada BN) selepas 20 tahun, namun saya lihat ia sebagai satu bukti dalam perjuangan saya.
“Saya tidak berpihak kepada sesiapa, dan saya akur dengan pembaharuan yang rakyat mahukan. Ini ‘assesment’ saya.
“Mana-mana parti politik dalam dunia pun, pemegang taruhnya adalah rakyat. Kita berjuang untuk berikan khidmat terbaik. Jadi, pada hemat saya, bila rakyat sudah tidak yakin dengan sesebuah parti boleh berikan khidmat terbaik lagi, mereka tidak bersama parti itu lagi” katanya kepada Xklusif, di sini, hari ini.
Menurut Harrison lagi, beliau bergerak mengikut kepada peredaran waktu dan berdasarkan bukti daripada keputusan beberapa pilihan raya umum yang lalu.
“Berdasarkan beberapa keputusan pilihan raya umum yang lalu, ternyata graf pencapaian BN, UMNO semakin menurun dan kita harus selidik mengapa.
“Masalahnya, ada sesetengah pihak ambil mudah. Takpe kalah sikit, kalah lagi sikit, takpe kita berjuang. Ini tidak betul.
“Kita kena tahu sebenarnya kenapa rakyat menolak sesebuah parti. Dan itu sebabnya apabila saya buat pertimbangan sendiri, saya bersama PN kerana saya yakin PN dan sekutunya berada di landasan yang benar ketika ini bersama rakyat,” katanya.
Ditanya mengapa memilih PN berbanding menjadi calon Bebas, Harrison memilih untuk bersama PN kerana parti itu memperjuangkan khidmat yang terbuka untuk semua lapisan rakyat.
“Kita kena terima bahawa parti politik di Malaysia ini berdasarkan parti kaum. Ia bukan satu ciri perkauman tapi sudah menjadi lumrah dalam negara sendiri. Asas saya untuk agama dan bangsa saya, sebab itu saya bersama UMNO selama ini.
“Jadi, saya nampak perjuangan yang sama dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), tetapi dalam masa yang sama masih terbuka kepada agama dan bangsa yang lain,” katanya.
Bagaimanapun, Harisson masih menghirmati Pengerusi UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan berharap yang terbaik untuk parti keramat itu mendepani landskap politik negara yang kian berubah.
“Kepimpinan beliau (Ahmad Zahid) sedang mengalami perubahan landskap yang baru yang memerlukan kaedah pemerintahan itu diubah.
“Saya doakan yang terbaik untuk kepimpinan dan seluruh jentera UMNO yang mana kebanyakkannya masih kawan-kawan saya supaya dapat berikan yang terbaik kepada rakyat Malaysia,” katanya. — Xklusif