Hati Wan Maimunah hancur, ditawar bayaran RM200 untuk berlakon telemovie
Ibarat barah yang semakin merebak, ramai antara golongan artis veteran yang terpaksa berputih mata apabila menerima tawaran lakonan dengan bayaran yang amat rendah.

KUALA LUMPUR, April 10 – Isu bayaran artis veteran yang tidak setimpal dengan pengalaman dan lakonan hebat ditunjukkan mereka masih lagi menjadi polemik dalam industri hiburan, seakan tiada berkesudahan.
Ibarat barah yang semakin merebak, ramai antara golongan artis veteran yang terpaksa berputih mata apabila menerima tawaran lakonan dengan bayaran yang amat rendah, malah jauh lebih rendah daripada pelakon yang baru bertapak dalam dunia seni.
Perkara ini bukanlah baru, malah ramai artis veteran yang mengeluh dengan keadaan yang berlaku malah ada yang berputus asa dan terpaksa memikirkan jalan lain untuk mencari pendapatan bagi meneruskan hidup.
Perkara itu turut diluahkan pelakon veteran, Wan Maimunah Wan Abdul Aziz yang mengakui perkara itu telah lama berlaku di kalangan segelintir anak seni seangkatan dengannya.
Malah, pelakon dikenali dengan jolokan ratu air mata itu juga mengakui hatinya hancur dan seakan berputus asa dengan industri kerana meletakkan bayaran golongan artis veteran yang tidak setimpal.
“Isu bayaran rendah golongan artis veteran ini dah berlaku lama, tanyalah artis veteran lain, seperti Norlia Ghani, Jalil Hamid, Hisham Ahmad Tajudin (sudah meninggal) semuanya sudah merasainya.
“Pada tahun lepas, ibu pernah ditawarkan untuk satu telemovie bayarannya sebanyak RM200, masuk dek akal ke tak?
“Pernah orang bertanya siapa pihak produksi terbabit, tapi ibu tak akan buka aib orang. Ibu juga percaya pada rezeki Allah mungkin ada di tempat lain,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sumbangan Kepada Ahli Persatuan Kebajikan Artis Lagenda Malaysia di Dataran Karyawan Finas, semalam.
Menafikan dirinya merajuk dan mahu meninggalkan dunia seni kerana kecewa, Wan Maimunah yang mesra disapa Ibu mengakui dia kini lebih selektif dalam memilih produksi yang menawarkannya berlakon.
Malah pelakon berusia 65 tahun itu lebih ‘rela’ menerima tawaran pendatang baru dalam industri yang biasanya menawarkannya watak dalam filem pendek atau drama bebas.
“Ibu bukan merajuk, biarlah Ibu bantu budak-budak baru yang buat filem pendek, drama bebas ke, tapi kadang-kadang bayaran mereka jauh lebih baik,” katanya.
Mengakui dirinya sudah terlalu penat dengan situasi tersebut, Wan Maimunah juga meluahkan rasa kecewa kerana dia biasanya berusaha bersungguh-sungguh menjiwai watak diberikan selain usahanya menyediakan wardrobe serta persiapan lain namun masih menerima bayaran tidak setimpal.
“Tahun ini memang tiada tawaran, tapi Ibu mengambil sikap selektif dan menerima tawaran lakonan atas dasar percaya sahaja. Baru-baru ini Ibu berlakon dalam naskhah Rashid Sibir, yang mana Ibu sudah lama bekerjasama dengannya, jadi Ibu terima tawaran tersebut,” katanya.
Bulan lalu, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) berjanji untuk meneliti isu bayaran artis veteran agar dapat membantu golongan terbabit menerima upah yang setimpal.
Menterinya Fahmi Fadzil berkata perbincangan dua hala dengan pelbagai pihak akan diteruskan supaya bayaran untuk artis veteran dapat diselaraskan.
“Di pihak kementerian, KKD sudah adakan siri pertemuan dengan pemain industri muzik.
“Beri sedikit masa. Kita tahu antara isu itu membabitkan kos. Insya-Allah, kami akan adakan lagi pertemuan untuk buat beberapa penyelarasan,” katanya. – Xklusif