HeiTech bersedia menerajui transformasi digital untuk pertumbuhan kewangan yang mampan
HeiTech Padu Berhad (HeiTech atau Kumpulan) bersedia untuk menerajui transformasi digital merentasi pelbagai industri melalui penyelesaian digitalnya untuk pertumbuhan kewangan yang mampan.
Syarikat itu menyasarkan untuk menjadi rakan kongsi teknologi yang berupaya mengintegrasikan teknologi canggihnya seperti keselamatan siber, pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan, untuk membantu pelanggannya berkembang maju dalam era digital dan seterusnya merealisasi aspirasi syarikat menjadi Syarikat Teknologi Digital menjelang tahun 2030.
Bercakap pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-29 HeiTech, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Salmi Nadia Mohd Hilmey, berkata, “Kami memberi tumpuan pada perniagaan teras kami dan gembira dengan keputusan positif yang dicapai walaupun berdepan persekitaran operasi yang mencabar. Kami akan meneruskan momentum ini dengan mengukuhkan strategi perniagaan, mempelbagaikan tawaran produk dan mempertingkatkan pendigitalan operasi kami.”
“Perjalanan kami tertumpu kepada transformasi dan penambahbaikan berterusan. Aspirasi kami adalah untuk menjadi penyedia teknologi digital menyeluruh, menawarkan penyelesaian holistik yang merangkumi penyelesaian bandar pintar, perkhidmatan perusahaan, teknologi penjagaan kesihatan, sistem tenaga dan kuasa, inovasi automotif dan teknologi pertahanan. Kami sedang mengatur dan mempertingkatkan tawaran kami untuk memenuhi keperluan pasaran hari ini yang semakin berkembang bagi memastikan kerelevanan dan daya saing.”
“Melalui kepakaran dalam penyelesaian bandar pintar, kami menyasarkan untuk terus memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara melalui Internet Benda (IoT), Kepintaran Buatan (AI) dan analisis data”, ujar Salmi Nadia.
“HeiTech telah berkembang daripada penyedia perkhidmatan penyepaduan sistem dan infrastruktur terurus kepada penyedia produk dan perkhidmatan teknologi digital. HeiTech mengembangkan tawaran dan pasarannya melalui penciptaan produknya sendiri yang sesuai dengan pasaran berasaskan urus niaga dan massa yang merangkumi sistem tempat letak kereta pintar, e-KYC (kenali pelanggan anda melalui platform digital), gerbang pembayaran secara elektronik serta aplikasi pintar untuk pihak berkuasa tempatan, koperasi, penyelesaian pengurusan sekolah dan portal pengajaran”.
Penyelesaian tempat letak kereta pintar kami, Park Smart Plus (PS+), memanfaatkan teknologi geolokasi untuk memberikan pengalaman parkir yang lancar dan meningkatkan pengurusan trafik, kecekapan tenaga dan pengurangan jejak karbon, manakala sistem pengurusan pihak berkuasa tempatan kami, Kolleq, meningkatkan kecekapan pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan. Hasrat kami adalah untuk membangunkan persekitaran bandar moden yang pintar dan mampan, dengan bekerjasama dengan kerajaan tempatan dan pihak berkepentingan lain,”tambahnya.
Baru-baru ini, HeiTech mengumumkan prestasi kewangan yang lebih kukuh pada suku pertama berakhir 31 Mac 2024 (S1 2024) berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Bagi S1 2024, Kumpulan melaporkan keuntungan sebelum cukai (“PBT”) sebanyak RM501,000 dan keuntungan selepas cukai (“PAT”) sebanyak RM231,000.
Ini menandakan peningkatan ketara berbanding suku yang sama tahun sebelumnya, yang menyaksikan kerugian sebelum cukai sebanyak RM3,168,000 dan kerugian selepas cukai sebanyak RM3,344,000. Walau bagaimanapun, Kumpulan mencatatkan hasil yang lebih rendah sebanyak RM61,633,000 bagi S1 2024, susut sebanyak RM9,913,000 daripada RM71,546,000 yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Kumpulan kekal kukuh dalam sektor awam dan swasta, memperoleh kontrak baharu dengan Jabatan Pengangkutan Jalan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Kesihatan, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia, dan lanjutan kontrak dengan Jabatan Imigresen Malaysia. Kontrak-kontrak ini menggambarkan kekuatan Kumpulan dalam menguruskan projek infrastruktur berskala besar dan kritikal serta menunjukkan keupayaannya untuk menyampaikan penyelesaian menyeluruh merentas pelbagai sektor.
“HeiTech akan meraikan ulang tahun ke-30, satu peristiwa penting yang membuktikan daya tahan, kesungguhan dan kebolehsuaian kami sepanjang tiga dekad yang lalu. HeiTech sememangnya telah melalui perjalanan yang luar biasa, mengharungi pelbagai cabaran dan kami akan muncul lebih kuat setiap kali berdepan ujian getir. Kekuatan yang berkekalan ini telah mengukuhkan legasi kami sebagai organisasi yang teguh dan berpandangan jauh. Komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap kecemerlangan dan inovasi telah membolehkan kami merebut peluang pertumbuhan baharu sambil terus berdedikasi untuk berkhidmat kepada pelanggan dan pihak berkepentingan kami,” kata Salmi Nadia.