Berita

Henti cari publisiti murahan guna isu masalah komuniti India

Thinalan menganggap tindakan Saraswathy ibarat mencari publisiti murahan.

KUALA LUMPUR 5 Sept. – Tindakan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Senator Saraswathy Kandasami mengadakan sidang media berkaitan kebenaran permit kerja warga India disifatkan sebagai satu publisiti murahan.

Ketua Penerangan MIC, Thinalan Rajagopalu berkata, perkara itu bukan di bawah urusan mereka.

“Lebih logik jika Kementerian Sumber Manusia atau Kementerian Dalam Negeri yang mencadangkan langkah seterusnya susulan arahan yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada semalam.

“Tindakan mengadakan sidang media untuk menunjukkan usaha mereka mencari jalan penyelesaian adalah satu tindakan tidak profesional dan kebudak-budakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Thinalan, semua orang boleh tampil mencadangkan langkah penyelesaian yang sesuai untuk komuniti tetapi janganlah terlalu terdesak sehingga sanggup menumpang usaha orang lain.

Untuk rekod, perniagaan yang ditunjangi kaum India melibatkan gunting rambut, barangan kemas dan kain telah terkesan teruk dengan masalah kekurangan pekerja.

Selama sembilan bulan, banyak desakan dan permintaan bagi menyelesaikan masalah tersebut dan MIC antara yang cukup aktif membangkitkan isu tersebut.

Pada semalam, ketika pelancaran Lestari Niaga di Brickfields yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perkara itu sekali lagi dibangkitkan oleh Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan.

M.Saravanan menerusi ucapannya sekali lagi memohon tindakan susulan daripada Anwar berkaitan dengan masalah yang dihadapi dalam sektor perniagaan kaum India dalam negara.

Anwar kemudian dalam ucapannya kemudian bersetuju untuk meluluskan separuh daripada jumlah keseluruhan permohonan permit kerja warga India yang dipohon sebelum ini.

Anwar juga berkata satu langkah penyelesaian jangka panjang menerusi pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) dan menyediakan modal menerusi Tekun.

Selain itu, Anwar turut mengarahkan Menteri Sumber Manusia untuk membawa isu berkenaan ke mesyuarat kabinet pada Jumaat depan.

Tambah Thinalan, perkara ini membuktikan yang permintaan M.Saravanan itu telah diselesaikan dengan segera oleh Anwar. — Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button