Politik
Henti kisah peralihan kerajaan, siasat Che’gu Bard – Puad
Puad mahu tindakan keras diambil terhadap pihak yang menemarkan nama baik Agong.

KUALA LUMPUR 24 Jan. – Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zakarshi mendesak polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan keras terhadap pihak yang cuba mencemarkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.
Menurutnya, perkara itu ekoran laporan polis oleh pihak Istana terhadap video CheguBard kononnya tiga pemimpin utama Perikatan Nasional (PN) dipanggil menghadap Agong semalam.
“Ia sudah melampau kerana cerita palsu peralihan kerajaan ini berani mengaitkan pihak Istana Negara banyak kali.
“Ini berpunca kerana ada pemimpin PN sendiri tidak tegas dan berani pula mengiyakan cerita bohong kerajaan tebuk atap ini,” katanya.
Jelas Puad, polis perlu menyiasat sama ada individu seperti CheguBard diupah.
“Apakah ada pihak yang sanggup bayar kos guaman mereka jika disaman? Sebab itu mereka berani menyebar cerita palsu.
“Pemimpin PN mesti tampil kedepan menafikan penglibatan mereka dengan cerita temberang ini. Cukup cukuplah usaha songsang menukar kerajaan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke 16,” katanya. — Xklusif