Politik

Henti Polemik Sesama Sendiri, Tumpu Kawasan Masing-masing – Ismail Sabri

SUNGAI SIPUT Nov 15 – – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa semua calon Barisan Nasional (BN) agar menghentikan polemik sesama ahli dalam parti dan fokus untuk memenangi kerusi Parlimen masing-masing.

Beliau berkata, sesiapa pun dalam parti tidak perlu lagi membincangkan isu dalaman parti sebaliknya apa yang menjadi keutamaan adalah untuk menghadapi dan memenangi Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) tidak lama lagi.

“Kurangkan polemik sesama kita. Apa yang penting bagi saya sekarang ini adalah kita bergerak dan fokus bekerja untuk menang, manakala yang lain-lain kita letak tepi terlebih dulu,” katanya pada sidang media pada Majlis Ramah Mesra Bersama Keluarga Felda Lasah di Dewan Semai Bakti di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Pengarah Besar Felda, Datuk Amiruddin Abdul Satar.

Sementara itu, Ismail Sabri yang akan mempertahankan Parlimen Bera pada PRU15 turut merayu kepada pengundi di Parlimen Sungai Siput untuk membantu kemenangan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran.

Jelasnya, kemenangan Vigneswaran itu penting sebagai parti komponen terbesar dalam BN yang selama ini telah menyokong dan berdiri teguh di belakang BN walaupun selepas kalah pada PRU lepas.

“MIC bertanding di sini (Sungai Siput) tidak sepatutnya menjadi isu kepada kita, inilah semangat keluarga Malaysia malah ketika susah dan senang, MIC dan MCA tetap kekal bersama kita.

“Ketika BN kalah orang lari, orang dalam UMNO pula melompat macam katak, ada parti lain bergabung bersama kita juga lari, tapi MIC dan MCA kekal bersama UMNO.

“Jadi, inilah masanya untuk tunjuk penghargaaan kita pada pengorbanan MIC dan MCA dengan mengundi BN,” katanya.

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button