Henti rompak kekayaan negara jika mahu maju – PM
Pimpinan politik, penjawat awam peringkat tertinggi atau badan-badan penguatkuasaan mesti dan wajib menghentikan amalan berkenaan.
GEORGE TOWN, Jan 23 — Amalan rasuah perlu dihentikan serta merta sekiranya mahu melihat Malaysia menjadi sebuah negara maju di rantau ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pimpinan politik, penjawat awam peringkat tertinggi atau badan-badan penguatkuasaan mesti dan wajib menghentikan amalan berkenaan.
“Saya tidak akan tolak ansur lagi dengan sikap orang yang menggunakan kontrak atau projek mendapat atau mengambil kesempatan untuk mencari kekayaan yang bukan hak mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Ketua Menteri Chow Kon Yeow, di sini, hari ini.
Dalam pada itu Anwar berkata rakyat Malaysia mesti ada keberanian untuk menolak fahaman perkauman, rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Beliau yakin negara akan dapat mencatat tahap kemajuan dalam masa singkat yang belum pernah disaksikan sebelum ini sekiranya wujud semangat perpaduan yang utuh dalam kalangan rakyat untuk menolak gejala buruk berkenaan.
Anwar berkata persaingan atas kepentingan kaum dan agama hanya akan menanam kebencian dalam kalangan masyarakat.
“Slogan Masyarakat Madani menuntut keyakinan kita sebagai rakyat. Semua agama ada kepercayaan mereka, tetapi untuk hidup dalam masyarakat mesti ada faham kemanusiaan, dan kemanusiaan itu tiada makna jika tiada kasih sayang antara kita.
“Bila ada persaingan kaum dan agama yang sempit, maka yang ditanam itu adalah kebencian. Kita perlu terima perbezaan kita sebagai satu kekuatan.
Menyentuh mengenai amalan “komisen” dan “sedekah” dalam pilihan raya, Anwar berkata amalan itu jelas boleh merugikan negara dan masyarakat.
“Sedekah untuk amal jariah itu okay, tetapi sedekah untuk undi pada pilihan raya itu adalah korupsi,” katanya.
Sementara itu, Anwar memuji Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana memusatkan pembangunan ekonomi negeri itu seiring dengan keadilan sosial dengan mengambil kira golongan miskin bandar dan B40.
Turut hadir pada majlis itu Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.