Berita

Hidang telur rebus busuk di MRSM, tindakan tegas akan diambil – Asyraf Wajdi

Asyraf Wajdi menegaskan pihaknya tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang ambil mudah isu penyediaan makanan pelajar.

KUALA LUMPUR 1 Nov. – Pihak pengurusan Majlis Amanah Rakyat (MARA) diarah memberi laporan penuh berhubung isu telur rebus busuk yang didakwa dihidang kepada pelajar di sebuah Maktab Rendah Sains MARA di Negeri Sembilan, hari ini.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, mengakui menerima banyak mesej dan aduan melalui media sosial mengenai isu itu.

“Walaupun berada di luar negara, saya sudah mengarahkan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA untuk segera siasat, ambil tindakan tegas dan pastikan kes seperti ini tidak berulang.

“Saya juga sudah meminta laporan penuh daripada pengurusan MARA paling lewat esok,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook, hari ini.

Beliau menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mengambil mudah isu penyediaan makanan pelajar, terutama kontraktor dewan selera.

“Jangan hanya mengejar untung atas kesusahan orang lain. Keuntungan atas kecurangan pastinya tiada keberkatan.

“Jika didapati kecuaian ini benar-benar berlaku, MARA akan mengambil tindakan tegas termasuk menamatkan kontrak seperti perjanjian dan peraturan ditentukan,” katanya.

Terdahulu, beberapa gambar menunjukkan telur rebus ‘busuk’ didakwa dihidang kepada pelajar di sebuah MRSM di Negeri Sembilan, tular di media sosial. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button