Hizbullah beri amaran kepada Israel, jangan ceroboh sempadan
Hizbullah memberi amaran ia sedia berperang sekiranya Israel cuba membawa pulang 10,000 warga Yahudi yang dipindahkan ketika perang di Gaza, kembali ke kawasan berhampiran sempadan Lubnan
Timbalan Ketua Hizbullah, Naim Qassem, menegaskan tindakan itu akan menyebabkan ratusan ribu orang penduduk Lubnan kehilangan tempat tinggal.
Beliau berkata demikian selepas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, menyatakan bahawa Israel bertekad untuk memulihkan keselamatan di bahagian utara negaranya.
Gallant memberitahu tentera Israel minggu lalu bahawa pihaknya sedang bersiap sedia untuk apa sahaja yang mungkin berlaku di wilayah sempadan utara dengan Lubnan.
Dalam satu ucapan di Beirut, Qassem berkata: “Kami tidak berniat untuk berperang, kerana kami menganggap ia tidak berguna.
“Namun, jika Israel melancarkan perang, kami akan menghadapinya – dan akan ada kerugian besar di kedua-dua belah pihak.
“Jika mereka fikir perang sebegini akan membolehkan 100,000 orang yang dipindahkan kembali ke rumah mereka … kami memberi amaran bahawa bersiaplah untuk berhadapan dengan ratusan ribu lagi yang dipindahkan,” katanya.
Hezbollah berbalas tembakan hampir setiap hari dengan tentera zionis Israel sebagai sokongan kepada sekutunya, Hamas, sejak serangan kumpulan pejuang Palestin pada 7 Oktober ke atas Israel yang mencetuskan perang di Gaza.
Ribuan penduduk yang tinggal di kawasan sempadan kedua-dua negara termasuk dari Lubnan dan Israel, dipindahkan akibat pertempuran berkenaan.
Semalam, tentera Israel menyatakan bahawa pasukan udaranya sudah menyerang kemudahan penyimpanan senjata Hezbollah yang disyaki di dua lokasi di Lembah Beqaa timur Lebanon, serta di enam lokasi di selatan.
Tiga kanak-kanak adalah antara empat mangsa yang cedera dalam serangan Israel di daerah Hermel, Beqaa utara, kira-kira 140 kilometer dari sempadan Israel, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Lubnan.
Sumber yang rapat dengan Hezbollah menyatakan serangan itu menyasarkan sebuah ladang di kawasan berkenaan, yang juga kubu kuat kumpulan itu.
Serangan kedua di kampung Serine, berhampiran Baalbek mensasarkan ‘gudang yang menyimpan produk makanan’, tambah sumber itu.
Keganasan rentas sempadan sejak awal Oktober lalu mengorbankan 623 orang di Lubnan, kebanyakannya pejuang, manakala 142 lagi adalah orang awam, menurut kiraan AFP.
Di pihak Israel, termasuk di Bukit Golan yang diduduki, pihak berkuasa mengumumkan kematian sekurang-kurangnya 24 askar dan 26 orang awam. – AFP