Viral

Honda City putih bawa dadah langgar 4 kenderaan, pemandu diburu

POLIS kini giat memburu pemandu Honda City yang menyebabkan kemalangan empat buah kereta di Jalan Cheras, Kuala Lumpur sebelum persimpangan lampu isyarat Sunway Medical Centre Cheras, 9.40 malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya telah menerima empat laporan daripada pemilik kenderaan yang dirempuh Honda City.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika empat buah kenderaan sedang berhenti di lokasi kejadian.

“Pemandu City telah melanggar Perodua Bezza dari sisi kanan kemudian merempuh Inokom Atos pada bahagian belakang dan melanggar Suzuki Swift pada sisi kanan sebelum melanggar Perodua Alza pada sisi kiri.

“Suspek kemudian telah memberhentikan kenderaan di kawasan berhampiran lobi Sunway Medical Centre Cheras sebelum melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, pemeriksaan pada kereta City suspek telah menemui empat peket dadah jenis methamphetamine, tiga keping Eremin 5, dua peket dadah ketamin dan tujuh biji pil ekstasi.

Jumlah nilai rampasan sebanyak RM10, 577.

Katanya, polis turut merampas sebuah Honda City berwarna putih, tiga unit telefon bimbit dan dua kad akses kediaman.

Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Rusdi berkata, pihaknya kini mengesan pemandu City yang merupakan suspek utama dalam kejadian ini.

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button