HONOR X9 Dinobat Telefon Pintar Kelas Pertengahan Paling Laris di Asia Tenggara

Siri HONOR X9 terus mencipta sejarah apabila menerima anugerah ‘Telefon Pintar Kelas Pertengahan Paling Laris’ daripada ASEAN Records, sebagai pengiktirafan terhadap prestasi jualan luar biasa di pasaran Asia Tenggara, khususnya Malaysia.
Anugerah berprestij itu diberikan kepada model HONOR X9a, X9b, dan X9c yang mendominasi pasaran telefon pintar kelas pertengahan sejak pelancarannya. ASEAN Records turut mengiktiraf siri tersebut sebagai simbol inovasi dan pengaruh teknologi yang semakin berkembang di rantau ini.

Penyampaian anugerah disempurnakan oleh Pengarah Urusan ASEAN Records, Gillian Ooi dan Eldrick Koh kepada Ketua Jualan Saluran HONOR Malaysia, Tan Pei Ling, pada acara Jerayawara HONOR X9d 5G di IOI Mall Puchong.
Menurut Pei Ling, pencapaian ini mencerminkan kepercayaan pengguna, dedikasi rakan kongsi, serta komitmen berterusan HONOR dalam menghasilkan produk berkualiti tinggi. “Kami amat berterima kasih atas pengiktirafan ini. Ia membuktikan keyakinan pengguna terhadap jenama HONOR dan menjadi dorongan untuk kami terus berinovasi serta memperkayakan kehidupan komuniti di Malaysia dan rantau ASEAN,” katanya.

Beliau menambah, kejayaan Siri X9 daripada X9a ke X9d membuktikan usaha berterusan HONOR dalam memberikan nilai terbaik kepada pengguna. “Pencapaian 56 peratus bahagian pasaran dalam segmen pertengahan bukan sekadar angka, tetapi tanda sokongan kukuh daripada pengguna yang menjadi nadi kepada kejayaan kami,” jelasnya.
Sejak diperkenalkan pada 2022, Siri HONOR X9 kekal kukuh di semua saluran jualan dan menjadi pilihan utama kerana reka bentuk tahan lasak, prestasi mantap dan nilai hebat. Bahagian pasaran siri ini meningkat daripada 33 peratus pada 2023 kepada 56 peratus pada 2025, menjadikannya telefon pintar kelas pertengahan paling dominan di Malaysia — dengan satu daripada dua peranti dalam segmen itu kini merupakan model HONOR X9.








