Berita

Hormati situasi di Gaza, Konsert Stars on Fire 2023 ditangguhkan

Konsert Stars on Fire 2023 Tour yang membawa pelakon terkenal Bollywood, Hrithik Roshan dijadualkan berlangsung pada 1 Disember depan di Stadium Nasional Bukit Jalil

KUALA LUMPUR 27 Nov – Demi menghormati penderitaan dan keperitan rakyat di Gaza, Palestin, penganjur Konsert Stars on Fire 2023 Tour mengambil keputusan untuk menunda acara tersebut.

Konsert Stars on Fire 2023 Tour yang membawa pelakon terkenal Bollywood, Hrithik Roshan dijadualkan berlangsung pada 1 Disember depan di Stadium Nasional Bukit Jalil ditangguhkan sehingga ke satu tarikh lain yang akan diumumkan kelak.

Selain Hrithik Roshan terdapat 8 lagi bintang Bollywood terkenal yang sepatutnya membuat persembahan pada konsert berkenaan.

Heart Art dan Dembi Productions selaku penganjur berkata, pihaknya mengambil kira permintaan daripada orang ramai supaya menangguhkan konsert berkenaan sebagai menghormati penderitaan yang sedang dialami rakyat Palestin.

“Kami mengambil kira keadaan semasa khususnya konflik antara Israel dan Palestin yang sedang berlaku selain desakan daripada rakyat Malaysia supaya mengangguhkan konsert ini.

“Kami selaku penganjur perlu menghormati keputusan tersebut dan bersetuju ia tidak sesuai berlangsung ketika ini, disaat dunia sedang bersimpati dengan perang dan kekejaman Zionis terhadap saudara kita di Palestin,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya lagi, pihak penganjur turut mengambil maklum terdapat individu yang sudah membeli tiket selain menempah hotel serta penerbangan bagi menyaksikan konsert berkenaan.

“Kami memohon maaf atas kesulitan yang terpaksa ditanggung pihak yang terlibat. Kami akan sedaya upaya mempercepatkan pembayaran balik bagi setiap tiket yang dibeli,” katanya.

Orang ramai yang sudah membeli tiket konsert berkenaan boleh berhubung dengan pegawai khidmat pelanggan bagi urusan bayaran balik menerusi email [email protected] atau di talian +6011-2186-8055 / +6011-2146-6055. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button