Berita

‘Hot Daddy’, 2 teman wanita didakwa buat iklan khidmat persundalan

Kesemua mereka mengaku tidak bersalah.

KUALA LUMPUR 26 Jan. – Bapa kepada tiga anak dikenali sebagai ‘Hot Daddy’ bersama dua teman wanitanya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana membuat pengiklanan khidmat persundalan menerusi aplikasi X, minggu lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli, 32, dan Norhidayah Mahadi, 24, yang bekerja sendiri bersama pengurus swasta, Norshazrina Md Zamri, 27, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

“Faham dan tidak (bersalah),” kata mereka.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama membuat pengiklanan khidmat persundalan menggunakan aplikasi X yang mana orang munasabah akan memahaminya sebagai khidmat persundalan.

Kesalahan itu dilakukan di Pejabat D7 (Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap) Bukit Aman, di sini, 10.10 pagi, 16 Januari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 372 (1)(e) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama bawah Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara 15 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latif tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap ketiga-tiga tertuduh kerana kesalahan tidak boleh dijamin dan mengambil kira kepentingan awam.

“Bagaimanapun sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, pihak pendakwaan mencadangkan jumlah jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

“Jumlah itu ialah sesuai kerana mengambil kira kepentingan awam selain pertuduhan kesalahan dikategorikan dalam jenayah yang serius,” katanya.

Sementara itu, peguam, Mohd Faris Abrar Othman yang mewakili semua tertuduh, merayu anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar yang minimum.

Menurutnya, tiada elemen menunjukkan mereka akan melarikan diri kerana anak guamnya adalah rakyat tempatan malah keluarga mereka tinggal di sini.

“Hasli Ikhwan perlu menjaga bapanya berusia 67 tahun yang mempunyai sejarah sakit buah pinggang selain mempunyai tiga anak berusia 12, 10 dan empat tahun.

“Norshazrina bekerja sebagai pengurus swasta dengan gaji RM4,000 sebulan dan menanggung ibu berusia 56 tahun yang mempunyai penyakit jantung manakala Norhidayah tidak mempunyai pendapatan tetap,” katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Siti Aminah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Februari depan untuk serahan dokumen.

Sebelum ini, media melaporkan, polis menahan seorang ‘gigolo’ tempatan kerana merakam dan menjual video lucahnya dengan melakukan hubungan seks bersama lebih 20 wanita termasuk mereka yang mengupahnya untuk khidmat seks. — Harian Metro

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button