Berita

HSJ jelas punca sebenar lelaki berseluar pendek dilarang terima rawatan

HSJ telah menjalankan siasatan dan mendapati ia berpunca daripada masalah komunikasi antara pengawal keselamatan dengan pengadu terbabit

BUTTERWORTH 14 Dis – Insiden seorang lelaki warga emas yang mendakwa dirinya tidak dibenarkan melawat ahli keluarganya yang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ), di sini kerana berseluar pendek didapati berlaku disebabkan masalah komunikasi.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Gooi Zi Sen, berkata beliau kesal dengan kejadian yang berlaku.

HSJ telah menjalankan siasatan dan mendapati ia berpunca daripada masalah komunikasi antara pengawal keselamatan dengan pengadu terbabit.

“Jangan biarkan insiden terpencil ini mencemarkan nama baik sistem penjagaan kesihatan kita kerana semua kakitangan perubatan bekerja keras memastikan rakyat Pulau Pinang mendapat rawatan berkualiti,” katanya.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan seorang warga emas dilarang melawat abang iparnya di sebuah hospital kerajaan dan diberikan ceramah mengenai Rukun Negara kerana berseluar pendek.

Ini selepas lelaki berusia 72 tahun itu didapati memakai baju T, berseluar atas lutut dan berkasut sukan ketika tiba di HSJ petang Isnin lalu.

Dakwa warga emas berkenaan, dia kemudian ditunjukkan infografik kod pakaian pelawat hospital, yang melarang seluar pendek, skirt pendek dan baju tanpa lengan.

Dia kemudian mengadu perkara itu di kaunter aduan hospital, yang mana seorang pegawai memaklumkan akan menggunakan budi bicaranya dan membenarkan dia masuk hanya untuk kali itu sahaja. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Back to top button