Berita

Hubungan tak direstui, remaja Rohingya bawa lari teman wanita

Remaja itu membawa lari teman wanitanya berusia 13 tahun dengan tujuan untuk berkahwin.

KUALA LUMPUR 19 Dis. – Gara-gara hubungan tidak direstui, seorang remaja lelaki Rohingya membawa lari teman wanitanya yang berusia 13 tahun dengan tujuan untuk berkahwin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang di Jalan Memanda Ampang Point, di sini, 7 Disember lalu, sebelum suspek berumur 17 tahun itu dipercayai bernikah dengan pasangannya di Johor.

“Abang gadis yang berusia 19 tahun dan bekerja sebagai tukang sapu kemudian mendapat tahu adiknya dibawa lari dengan menaiki sebuah kereta.

“Kami melancarkan operasi mengesan gadis terbabit selepas abangnya membuat laporan sejurus mengetahui mangsa dilarikan.

“Susulan itu, pasukan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya melakukan serbuan di Kampung Pandan, di sini, petang semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Azam, pihaknya menahan remaja lelaki itu dan bapanya berusia 37 tahun yang mana kedua-dua beranak itu merupakan pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR).

Jelasnya, ketika serbuan, mangsa turut ditemui berada bersama suspek. Punca kejadian dipercayai kerana suspek berusia 17 tahun ingin berkahwin dengan gadis itu tetapi tidak direstui oleh keluarga mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek bebas daripada sebarang pengambilan dadah.

Bagaimanapun, beliau berkata, suspek berusia 17 tahun yang bekerja sebagai pembuat piza, mempunyai satu rekod jenayah lampau.

“Polis turut merampas kedua-dua telefon bimbit mereka untuk siasatan lanjut. Remaja lelaki itu dan bapanya yang bekerja menjual ikan, direman hingga 22 Disember ini,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan atas kesalahan melarikan orang dengan salah di mana jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tujuh tahun dan denda. — Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button