Berita

Hukum darurat benarkan orang Islam bekerja dengan syarikat berkait Israel – Mufti

Sekiranya tiada peluang pekerjaan lain dan hanya syarikat produk Israel sahaja menjadi sumber pendapatan yang ada, maka orang Islam dibenar bekerja di situ berdasarkan hukum darurat

GEORGETOWN 6 Nov – Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menasihati masyarakat Islam supaya menunjukkan semangat setiakawan dan rasa simpati terhadap penderitaan saudara seagama di Palestin.

Semangat itu boleh ditunjukkan dengan melakukan boikot terhadap mana-mana syarikat dan produk yang membantu Israel.

Wan Salim berkata, rakyat Palestin kini diserang secara membabi buta oleh regim Zionis yang mana masyarakat awam tidak bersenjata dijadikan sasaran.

“Ribuan rakyat Palestin terkorban dan menjadi mangsa kekejaman penjajah Israel.

“Apakah rakyat Malaysia tidak mahu menunjukkan sedikit rasa simpati terhadap penderitaan dialami mereka akibat kekejaman dan kezaliman musuh yang tidak berperi kemanusiaan ini dengan melakukan sedikit pengorbanan?

“Cuba bayangkan bagaimana perasaan kita jika terpaksa menghadapi ujian dan musibah seperti mana yang menimpa rakyat berkenaan?” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Wan Salim berkata demikian bagi mengulas mengenai kempen boikot produk dan syarikat yang berkaitan dengan Israel, sehingga memberi kesan kepada pendapatan pekerja tempatan.

Mengulas lanjut Wan Salim berkata, sekiranya tiada peluang pekerjaan lain dan hanya syarikat produk Israel sahaja menjadi sumber pendapatan yang ada, maka orang Islam dibenar bekerja di situ berdasarkan hukum darurat.

“Namun di Malaysia terdapat banyak peluang pekerjaan tersedia, hanya perlu rajin mencarinya.

“Dengan memboikot produk syarikat berkenaan sekurang-kurangnya dapat memberi kesedaran kepada pemilik syarikat itu bahawa rakyat Malaysia adalah pencinta keamanan dan kedamaian.

“Rakyat negara ini juga membenci kekejaman, tidak kira pihak mana pun yang melakukannya.

“Semoga Allah SWT menambahkan rezeki-Nya kepada rakyat serta mengurniakan keselamatan dan keamanan berkekalan kepada negara,” katanya.

Semalam, media melaporkan nasib yang terpaksa dihadapi kira-kira 21,000 pekerja McDonald’s Malaysia susulan kempen boikot terhadap restoran khidmat segera berkenaan susulan dakwaan bahawa jenama itu terbabit dalam penyaluran kewangan ke negara ketiga.

Mereka juga dilabel sebagai pendukung Yahudi dan menerima pelbagai cemuhan serta cacian masyarakat. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Back to top button