Hutang FELDA: Muhyiddin tetap saman Anwar
Muhyiddin berkata Anwar gagal mendedahkan dokumen pinta dipinta berkenaan pelupusan hutang peneroka.

KUALA LUMPUR 21 Julai – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yasin memaklumkan akan meneruskan tindakan saman terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu dakwaan pelupusan hutang peneroka Felda.
Beliau berkata, Anwar dalam kenyataannya semalam gagal mendedahkan dokumen dipinta kelmarin berkenaan pelupusan hutang peneroka.
“Tetapi dokumen yang dia kemukakan bukan berkenaan pelupusan hutang peneroka Felda. Dokumen itu berkenaan sukuk. Saya pernah berkali-kali menjelaskan sebelum ini bahawa dokumen yang Anwar tandatangan itu adalah berkenaan sukuk bukan pelupusan hutang peneroka Felda.
“Pendedahan dokumen itu membuktikan saya bercakap benar. Yang berbohong dan fitnah saya ialah Anwar.
“Oleh kerana Anwar gagal mengemukakan permohonan maaf tanpa syarat dan secara terbuka kepada saya dalam tempoh 24 jam seperti mana yang terkandung di dalam surat tuntutan peguam saya kepadanya, maka saya sudah mengarahkan peguam saya untuk meneruskan tindakan saman fitnah ke atasnya,” katanya dalam kenyataan di Facebook malam, tadi.
Muhyiddin mendakwa, berdasarkan dokumen yang didedahkan siang tadi, Anwar juga seolah-olah tidak memahami kandungan dokumen yang ditandatangani beliau sendiri.
“Dokumen sukuk yang didedahkan juga menunjukkan Anwar tidak memahami kandungan dokumen yang dia tandatangan sebagai Menteri Kewangan. Ini bahaya.
“Entah apa lagi dokumen atau perjanjian yang dia tandangan atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang dia tidak faham atau tidak tahu isi kandungannya.
“Jelas Anwar tidak layak (incompetent) untuk kekal sebagai Perdana Menteri. Lagi lama Malaysia ditadbir oleh kerajaan ‘Madanon’ Anwar, lagi besar mudaratnya kepada rakyat,” katanya.
Presiden Bersatu itu berkata, siaran media Kementerian Kewangan (MOF) hari ini juga mengesahkan ia berkenaan jaminan kerajaan sebanyak RM9.9 bilion dan bukan pelupusan hutang peneroka Felda sebanyak RM8.3 bilion yang sudan pun diselesaikan pada 2021.
Anwar pagi tadi mendedahkan sebahagian dokumen yang membuktikan beliau sudah menandatangani dokumen berkaitan Akaun Rizab Perkhidmatan Kewangan (FSRA) serta penerbitan sukuk berjumlah RM990 juta sebagai jaminan kerajaan terhadap Felda.
Anwar sebelum ini juga berkata, beliau tidak lupa dan masih ingat dokumen berjumlah RM997 juta yang ditandatanganinya pada 27 Jun lalu.
Beliau membuat kenyataan itu selepas kelmarin, Muhyiddin mengemukakan surat tuntutan (LOD) kepada Anwar berhubung kenyataan mengenai pelupusan hutang peneroka Felda, selain menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Perdana Menteri. – XKlusif