Uncategorized

Hutang Peneroka Felda RM1.8 Juta Lupus, 100 Generasi Baharu Felda Lasah Terima Rumah PGBF

SUNGAI SIPUT Nov 15 – – Sebilangan peneroka Felda Lasah menarik nafas lega selepas Felda bersetuju untuk menghapus kira hutang peneroka yang menanggung kerugian akibat serangan gajah berjumlah RM1.8 juta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hutang tersebut membabitkan 70 peneroka Felda Lasah di sini yang mengalami kemusnahan tanaman di kebun sawit masing-masing akibat serangan gajah liar baru-baru ini.

“Terdapat 70 peneroka kebun di sini yang terjejas dan berhutang dengan Felda berjumlah RM1.8 juta, dan saya ingin maklumkan bahawa Felda bersetuju untuk menghapus kira hutang berkenaan.

“Bagaimanapun, saya juga mahu pengurus jangan hanya setakat selesaikan hutang, tapi perlu ambil tindakan bagaimana mahu kurangkan serangan gajah liar untuk masa akan datang,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Keluarga Felda Lasah di Dewan Semai Bakti di sini, hari ini.

Pada majlis sama, Ismail Sabri turut menyempurnakan simbolik penyerahan dokumen rumah kepada 5 penerima Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF).

Seramai 100 generasi baharu peneroka Felda Lasah akan menerima kediaman baharu menerusi projek PGBF yang dijangka siap pada Mac 2023.

Menurutnya, Felda Lasah ini juga menempatkan salah satu daripada 20 tapak PGBF yang diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM250 juta dengan sebanyak 110 unit rumah telah mencapai 93.3 peratus tahap kemajuan kerja dan sedang dalam fasa menyiapkan kerja-kerja infrastruktur.

Tambahnya, sebelum ini kerajaan juga telah mengumumkan pelbagai inisiatif untuk menambah baik model perumahan melalui inisiatif lot generasi Felda.

“Berikutan itu, sebanyak 8,670 unit lot telah dikenal pasti dan 770 unit telah dilaksanakan secara undian lot.

“Isu pemilikan rumah merupakan perkara yang sering dibangkitkan oleh warga Felda dan saya amat memahami permasalahan ini kerana di Bera juga ada banyak kawasan rancangan Felda.

“Sejarah sudah menunjukkan hanya Barisan Nasional (BN) yang boleh menjaga kepentingan generasi pertama, dan sudah pasti yang akan menjaga kepentingan generasi seterusnya juga adalah BN,” katanya.

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button