Berita

Ibarat sirih pulang ke gagang, Anwar jejak kaki ke Menara Dato’ Onn selepas 30 tahun

Anwar bersama pemimpin parti dalam kerajaan perpaduan mengadakan mesyuarat berkenaan di lokasi yang juga menjadi sejarah penting buat UMNO.

KUALA LUMPUR, Feb 8 – – Selepas meninggalkan UMNO lebih 30 tahun lalu, sejarah tercipta malam tadi apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir dalam dalam mesyuarat Seketeriat Kerajaan Perpaduan buat pertama kali di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Ibarat sirih pulang ke gagang, Anwar bersama pemimpin parti dalam kerajaan perpaduan mengadakan mesyuarat berkenaan di lokasi yang juga menjadi sejarah penting buat parti keramat Melayu itu.

Mesyuarat itu telah bersetuju untuk membentuk struktur pimpinan termasuk mewujudkan tiga jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Strategi, Jawatankuasa Pilihan Raya serta Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, struktur pimpinan tersebut ditubuhkan untuk memastikan setiap dasar kerajaan dipersetujui secara bersama oleh rakan gabungan.

“Kita telah bersetuju dalam mesyuarat sebentar tadi untuk membentuk struktur pimpinan yang akan bersidang setiap bulan dan jawatankuasa-jawatankuasa dilantik dijadualkan akan melakukan persidangan pertama dalam tempoh beberapa minggu ini.

“Sudah tentunya struktur ini dibentuk untuk memastikan segala dasar kerajaan dipersetujui bersama. Selain daripada jemaah menteri yang mempunyai tugas-tugas tertentu, majlis ini akan memberikan pandangan mereka tentang dasar utama Kerajaan Perpaduan,” katanya pada sidang media di WTC, malam tadi.

Menurutnya, Jawatankuasa Pilihan Raya ditubuhkan bagi mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak, sementara Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik ini juga akan memberi keutamaan dalam memantau kebijakan terutamanya melibatkan kos sara hidup rakyat yang meninggi.

Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusoff sebagai Setiausaha Agung Sekretariat, Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Ketua Sekretariat manakala ketua-ketua parti di bawah Kerajaan Perpaduan sebagai Timbalan Pengerusi Sekretariat.

“Sekretariat ini juga akan memberi pandangan mengenai kebijakan Kerajaan Perpaduan dan memastikan semua pandangan diambilkira sebelum merumuskan apa-apa dasar yang ingin diperkenal dan dilaksanakan,” katanya.

Artikel Berkaitan

Back to top button