Berita

Ibu tak mengaku tinggal anak dalam MPV hingga meninggal dunia

Nur Sari Fardiana yang merupakan seorang peniaga itu didakwa telah melakukan pengabaian terhadap anak perempuannya yang berusia 2 tahun 3 bulan

PETALING JAYA 22 Dis – Seorang ibu didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan mengabai anak perempuannya dalam kereta sehingga meninggal dunia, bulan lalu.

Bagaimanapun, tertuduh Nur Sari Fardiana Mohd. Amran, 38, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh.

Mengikut pertuduhan, Nur Sari Fardiana yang merupakan seorang peniaga itu didakwa telah melakukan pengabaian terhadap anak perempuannya yang berusia 2 tahun 3 bulan dengan meninggalkan kanak-kanak itu di dalam kereta sehingga meninggal dunia.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah rumah Jalan PJU 1A/25, Ara Damansara di sini antara pukul 8 pagi hingga 3.15 petang pada 8 November lalu.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Anis Hakimah Ibrahim menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang jaminan.

Bagaimanapun peguam Datuk Hanif Hassan yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan ikat jamin itu kerana jaminan yang ditawarkan pihak pendakwaan adalah tinggi.

“Akibat kejadian ini anak guam pernah trauma selama sebulan. Sepanjang siasatan dijalankan tertuduh telah memberikan kerjasama yang baik terhadap pihak berkuasa, jadi pohon satu jumlah jaminan rendah diberikan,” kata peguam itu.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak hakim Syaliza membenarkan ikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

“Tertuduh juga dilarang menganggu saksi-saksi pendakwaan,” kata hakim itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 30 Januari tahun depan bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.

KOSMO! online pada 9 November lalu, melaporkan seorang kanak-kanak dua tahun ditemui tidak sedarkan diri selepas lebih tujuh jam ditinggalkan dalam kereta, di kawasan perumahan Ara Damansara, di sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abd. Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan daripada wanita berusia 30-an yang memaklumkan anaknya tidak sedarkan diri pada pukul 3.49 petang.

Hasil siasatan lanjut mendapati pada pukul 7 pagi hari kejadian, ibu kanak-kanak berkenaan menghantar dua anaknya ke sekolah berhampiran seterusnya, pergi ke tadika berhampiran untuk menghantar mangsa.

Sampai di tadika, ibu mangsa berhenti sekejap untuk menyelesaikan urusan perniagaan dalam talian sehingga terlupa menurunkan mangsa di lokasi.

“Ibu mangsa terus balik ke rumah dan hanya menyedari mangsa berada dalam kereta pada pukul 3.35 petang dalam keadaan tidak sedarkan diri,” ujar kenyataan polis itu.

Jelas Mohamad Fakhrudin, bapa mangsa membuat panggilan kecemasan serta memberi rawatan awal kepada mangsa sehingga pihak ambulans dan polis tiba di tempat kejadian.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh manakala bedah siasat dijalankan hari ini. Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button