Ibu tunggal dibebaskan daripada tuduhan membunuh anak perempuannya
SEREMBAN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membebaskan seorang ibu tunggal daripada tuduhan membunuh anak perempuannya yang berusia enam tahun.
Hakim Rohani Ismail memerintahkan wanita tersebut dibebaskan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap A Mariyammah, 39, di akhir kes pendakwaan.
“Setelah mendengar keterangan saksi-saksi dan mempertimbangkan hujah yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak serta berdasarkan penilaian menyeluruh terhadap semua bukti, saya mendapati bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
Tertuduh dibebaskan dan dilepaskan tanpa perlu membela diri,” katanya.
Mariyammah didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh anak perempuannya di Apartment Matahari Height, Jalan Persiaran Senawang 8, Seremban, antara jam 5.30 petang hingga 6.30 petang pada 5 September 2020.
Pihak pendakwaan dikendalikan oleh timbalan pendakwa raya Syamimi Farhana MA Aziz manakala peguam S Paul Krishnaraja dan Amy Chong mewakili Mariyammah.