Berita

Identiti Mr H masih misteri – Polis

Abdul Wahab juga sehingga kini masih belum membuat sebarang laporan.

KUALA LUMPUR 24 Nov. – Identiti ‘Mr H’ yang didakwa sebagai individu utama yang dikaitkan dengan rakaman video perbualan berbaur lucah bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Mohammad Agus Yusoff masih belum dapat dikenal pasti.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, identiti ‘Mr H’ masih misteri kerana pihak polis belum dapat mengesahkan individu yang hadir memberikan keterangan adalah ‘Mr H’ seperti yang didakwa.

Menurutnya, setakat ini tiada laporan diterima daripada Abdul Wahab Abdul Kadir (Penolong Pegawai di J-KOM).

“Kita (polis) cuba jejakinya menerusi peguam beliau dan cuba yakinkannya, kita cuba bantu dan jamin keselamatan beliau untuk selesaikan kes ini.

“Polis telah merekod keterangan yang didakwa sebagai Mr H pada Khamis, tapi kita tidak boleh kemukakannya atas faktor keselamatan juga tidak mahu jejaskan dalam konteks siasatan hingga timbul spekulasi yang menyukarkan siasatan,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan mengenai Mr H, identitinya masih misteri berikutan Abdul Wahab yang masih belum tampil untuk laporan polis.

Jelasnya, selepas Abdul Wahab sahkan siapa Mr H, barulah secara positifnya boleh disahkan siapa Mr H ini.

“Saya tidak boleh sahkan siapa Mr H, realitinya Mr H masih misteri,” ujarnya.

Tambah Mohd Shuhaily, dalam tempoh seminggu ini, empat individu telah dirakam keterangan babit kes ini iaitu pengadu (Mohamad Agus), Mr H, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Che’gu Bard serta pekerja hotel bagi mengesahkan berlakunya sidang akhbar pada hari kejadian (17 November).

Katanya, pihak polis juga masih menunggu laporan pakar bagi mengesahkan kesahihan video yang didakwa disunting.

Pada Isnin, Mohammad Agus dan Abdul Wahab dalam satu sidang media khas mendakwa video perbualan mereka yang tular di media sosial sebenarnya sudah disunting.

Abdul Wahab, 33, mendakwa telah diarahkan oleh individu bernama Mr H untuk merekod video perbualannya bersama bekas Ketua Pengarah J-KOM itu. — Sinar Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button