Berita

Idrus Harun dilantik Pengerusi AmanahRaya

AmanahRaya memaklumkan pelantikan Idrus bakal membantu syarikat itu meningkatkan prestasi.

KUALA LUMPUR 10 Okt. – Bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun diumumkan sebagai Pengerusi AmanahRaya Berhad berkuat kuasa hari ini.

AmanahRaya dalam kenyataan memaklumkan, pelantikan Idrus bakal membantu syarikat itu meningkatkan prestasi.

Pada masa sama, katanya, ia juga boleh melonjakkan keupayaan Kumpulan itu sebagai syarikat pemegang amanah utama di negara ini.

“AmanahRaya percaya dengan pengalaman luas dan kecemerlangan Idrus dalam bidang perundangan akan membawa kumpulan ke arah peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Idrus sebelum ini dilantik sebagai Peguam Negara bermula pada Mac 2020 dan berkhidmat sehingga bersara pada September 2023.

Beliau memulakan kerjaya dalam sektor perundangan sebagai Penolong Penggubal Undang-Undang Parlimen di Jabatan Peguam Negara sebelum menjadi Penolong Kanan Pendaftar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Selepas itu, Idrus berkhidmat sebagai Timbalan Pendakwa Raya di beberapa jabatan kerajaan sebelum menjadi Penasihat Undang-Undang Negeri Terengganu; Peguam Kanan Persekutuan di Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Penggubal Undang-Undang Parlimen.

Beliau seterusnya dilantik sebagai Peguam Cara Negara pada April 2006 dan menyandang jawatan Hakim Mahkamah Rayuan pada September 2014 serta Hakim Mahkamah Persekutuan pada November 2018 sehinggalah dilantik sebagai Peguam Negara.

Idrus yang mempunyai pengalaman lebih 42 tahun dalam bidang perundangan memegang Ijazah Sarjana Undang-Undang dengan Kepujian dari Universiti Malaya. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button