IJN perkenal pusat rehabilitasi pesakit jantung berteknologi canggih pertama di Asia

INSTITUT Jantung Negara (IJN) telah mencipta sejarah dengan pelancaran pusat rehabilitasi pertama di Asia yang menampilkan teknologi latihan pneumatik yang canggih. Kemudahan moden ini menggabungkan inovasi dari Jerman, Finland, dan Belanda, menawarkan sokongan kepada pesakit dalam proses rawatan dan pemulihan mereka.
Rehabilitasi jantung adalah program khusus direka untuk membantu pesakit pulih dari pelbagai keadaan berkaitan jantung seperti serangan jantung dan pembedahan, serta mengurangkan risiko kejadian jantung di masa hadapan.
Program ini mempromosikan pendekatan holistik terhadap pemulihan dengan menggabungkan latihan fizikal, nasihat pemakanan, dan pendidikan mengenai tabiat gaya hidup sihat untuk jantung.
Bekerjasama dengan pengeluar peralatan rehabilitasi dan latihan dari Finland, HUR, Pusat Rehabilitasi Jantung ini dilengkapi dengan peralatan latihan pneumatik menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr Aizai Azan berkata ia berbeza dengan sistem tradisional, sistem pneumatik ini menggunakan tekanan udara untuk menghasilkan rintangan, memberikan pengalaman latihan yang lebih lancar dan terkawal.

Rintangan udara memudahkan permulaan pengangkatan berat dan membantu memperlahankan pergerakan pada akhir latihan. Teknologi ini mengurangkan tekanan pada sendi dan mengurangkan risiko kecederaan, menjadikan latihan lebih selamat dan berkesan.
“Senaman pneumatik ini menggunakan tekanan udara untuk mencipta rintangan untuk memberikan pengalaman senaman yang lebih lancar dan terkawal.
“Rintangan udara menjadikan senaman lebih mudah memandangkan teknologi ini mampu mengurangkan ketegangan pada sendi dan mengurangkan risiko kecederaan.
“Teknologi ini sesuai untuk mereka yang pulih daripada masalah jantung dengan mengambil kira keperluan dan kebolehan untuk melakukan senaman,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar program HUR & Lode Cardiac Rehab Manager di IJN pada Rabu.
Menurut beliau lagi, mesin HUR yang dipacu oleh teknologi HUR SmartTouch, yang membolehkan input program latihan dan sasaran peribadi. Sistem ini membantu pesakit melalui latihan dengan secara automatik menyesuaikan tetapan seperti ketinggian tempat duduk, rintangan, dan pengulangan, sambil menjejak kemajuan pada masa yang sama.
Selain itu, pengambilan data automatik sistem ini memberikan wawasan berharga mengenai kualiti latihan, membolehkan panduan dan sokongan yang berkesan untuk pesakit serta pemantauan masa nyata untuk kakitangan pusat rehabilitasi tersebut.
Pusat ini juga menggunakan Lode Cardiac Rehab Manager, sebuah perisian pemantauan yang mendokumenkan data relevan seperti elektrokardiogram (ECG), kadar jantung dan kelajuan, yang membolehkan sehingga 16 pesakit dipantau pada satu masa.
“Matlamat kami adalah untuk menyokong pesakit kami dalam setiap langkah perjalanan rehabilitasi mereka untuk mencapai potensi penuh mereka dari segi kesihatan jantung dan kesejahteraan keseluruhan. Pelancaran pusat ini menandakan komitmen berterusan kami untuk memberikan penjagaan yang komprehensif untuk pesakit kami menjalani kehidupan dengan lebih sejahtera.” kata Aizai lagi.
Selain peralatan latihan yang canggih, Pusat Rehabilitasi Jantung IJN juga mempunyai pasukan pelbagai disiplin yang terdiri daripada pakar kardiologi, fisioterapis, pakar pemakanan, dan pakar kesihatan mental. Pasukan ini memberikan penjagaan holistik yang menangani aspek fizikal, emosi, dan pemakanan pemulihan.
Pusat ini juga memberi penekanan yang kuat terhadap pendidikan kepada pesakit, menawarkan sumber dan sokongan untuk membantu individu mengamalkan tabiat gaya hidup sihat untuk jantung. Dari memahami pengurusan ubat dan mempelajari teknik pengurangan tekanan hingga merancang hidangan berkhasiat, IJN membekalkan pesakit dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk menjalani kehidupan sihat untuk jantung selepas perjalanan rehabilitasi mereka.