Berita

Ikrar bawa masuk tanglung, rupanya seludup rokok, arak RM9.3 juta

Modus operandi kedua-dua sindiket adalah dengan mengikrar barangan dagangan secara tidak benar bagi mengelak dikesan pihak kastam terhadap rokok putih, dipercayai tidak mempunyai permit import itu

KLANG 18 Jan – Sebanyak 12 juta batang rokok putih dengan anggaran nilai termasuk duti RM9.3 juta dirampas kastam susulan penahanan dua kontena di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, pada 14 Dis dan 29 Dis lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Norlela Ismail, berkata modus operandi kedua-dua sindiket adalah dengan mengikrar barangan dagangan secara tidak benar bagi mengelak dikesan pihak kastam terhadap rokok putih, dipercayai tidak mempunyai permit import itu.

“Kedua-dua kontena tersebut dipercayai dibawa masuk dari China dan menjadikan Malaysia sebagai destinasi terakhir mereka,” katanya pada sidang media.

Dalam perkembangan lain, Norlela berkata pihak penguatkuasaan Kastam Zon Tengah juga menahan empat kontena di pelabuhan yang sama pada 20 Dis hingga 4 Jan dan merampas 6,365 liter minuman keras dengan anggaran duti RM1.06 juta.

Menurutnya, semua kontena membawa dagangan campur dari China itu telah diimbas menggunakan mesin pengimbas kontena dan memaparkan imej imbasan yang meragukan serta tidak konsisten dengan keterangan dagangan diikrar.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas kontena itu pihaknya menemukan sejumlah minuman keras dipercayai tidak mempunyai permit import, disembunyikan di sebalik dagangan campur tersebut.

Norlela berkata, ketiga-tiga kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 iaitu mengimport apa-apa barang larangan berlawanan dengan sesuatu larangan di bawah Seksyen 135(1) (a) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan pihaknya telah membuat rampasan ke atas 90,400 batang rokok putih yang disyaki tidak berkastam dengan anggaran nilai termasuk duti berjumlah RM67,000 hasil serbuan ke atas sebuah kenderaan dan premis kediaman di Batu Caves, pada 8 Jan.

Susulan serbuan itu, katanya seorang wanita tempatan ditahan dan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 iaitu dengan disedari menyimpan barang tidak berkastam atau barang larangan di bawah Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967. – Bernama

Artikel Berkaitan

Back to top button