Imigresen kenal pasti 220 hotspot PATI seluruh negara
Operasi secara berterusan akan dijalankan dalam mengesan PATI yang tiada dokumen sah termasuk majikan yang menggajikan mereka
KUALA LUMPUR 17 Jan – Jabatan Imigresen (Imigresen) akan meningkatkan operasi pembanterasan pendatang asing tanpa izin (PATI) di 220 lokasi hotpsot yang dikenal pasti menjadi di tumpuan golongan itu di seluruh negara.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, berkata operasi secara berterusan akan dijalankan dalam mengesan PATI yang tiada dokumen sah termasuk majikan yang menggajikan mereka.
“Operasi ini bertujuan untuk memastikan warga asing yang berada di negara ini mempunyai dokumen perjalanan dan pas kerja yang sah.
“Kita tidak mahu mereka bebas bergerak ke sana ke sini dalam negara ini tanpa sebarang dokumen sah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Imigresen Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Dalam pada itu, katanya pihak juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap majikan yang menggajikan PATI dan Imigresen akan menggandakan operasi dalam mengenal pasti majikan yang ingkar dengan peraturan ini.
“Operasi secara tanpa henti akan dijalankan dan sasaran kita bukan sahaja PATI atau warga asing yang melanggar peraturan dan Akta Imigresen tetapi kita turut menyasarkan majikan yang majoritinya adalah rakyat tempatan.
“Mana-mana majikan yang menggajikan PATI secara tidak sah atau salah guna pas atau tiada dokumen, kita tetap akan ambil tindakan terhadap majikan,” katanya.
Jelas beliau, dari awal tahun ini sehingga 16 Januari lalu, Imigresen sudah melaksanakan 714 operasi dan memeriksa 7,571 warga asing dengan 3,261 PATI ditahan.
“Menerusi 714 operasi itu juga, kita turut menahan 35 majikan kerana menggajikan PATI. Perkara ini kita akan teruskan,” katanya.
Mengulas lanjut, Ruslin berkata antara lokasi yang akan menjadi tumpuan operasi pembanterasan PATI adalah kawasan penempatan warga asing tidak kira ia penempatan haram atau premis yang disewa sebagai kediaman mereka.
“Selain itu, kita memfokuskan lokasi tumpuan warga asing seperti tempat mereka sering berkumpul, kerana kita mendapat banyak aduan daripada pelbagai pihak termasuk individu, persatuan penduduk dan pemimpin masyarakat yang bimbang kehadiran warga asing yang terlalu ramai di kawasan mereka.
“Selain itu, hotspot kita juga menjurus kepada premis perniagaan termasuk restoran dan apa juga bidang yang menggaji warga asing termasuk kawasan projek pembinaan,” katanya.
Tambah beliau, lokasi hotspot juga membabitkan kawasan bandar raya termasuk Kuala Lumpur serta bandar-bandar utama lain di negara ini. – Berita Harian