Berita

Imigresen tahan 10 pengemis PATI di Bangsar

Semua yang ditahan berumur dalam lingkungan 2 hingga 41 tahun

KUALA LUMPUR 13 Jan – Jabatan Imigresen menahan pengemis asing di sekitar perkarangan Masjid Saidina Abu Bakar, Jalan Ara, Bangsar, di sini semalam dan menahan 10 warga asing.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata dalam operasi dijalankan Bahagian Penguatkuasaan agensi itu, masing-masing dua lelaki dan seorang perempuan warga Indonesia ditahan, selain seorang lelaki dan dua orang perempuan berasal dari Myanmar.

Semua yang ditahan berumur dalam lingkungan 2 hingga 41 tahun.

Turut ditahan dalam operasi itu yang dijalankan jam 12.15 tengah hari, empat kanak-kanak iaitu masing-masing dua lelaki dan dua perempuan warga Myanmar.

“Dalam operasi ini, seramai 13 orang diperiksa dan hasil pemeriksaan lanjut, seramai 10 orang pengemis warga asing yang berumur antara 2 hingga 41 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan.

“Seramai tiga individu dilepaskan kerana didapati warga tempatan,” katanya dalam kenyataan berkenaan.

Jelasnya, Imigresen menjalankan tindakan pemeriksaan di lokasi itu susulan aduan awam berhubung kegiatan mengemis dalam kalangan warga asing yang kerap berlaku.

Beliau turut memaklumkan, semua pengemis asing terbabit ditahan kerana disyaki dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Semua mereka ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut.- Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button