India setuju eksport beras, harga bergantung perbincangan – Mat Sabu
Harga beras dunia naik mendadak seawal Januari 2023, dengan pengeluaran dan bekalan beras dilaporkan terganggu akibat perubahan iklim dunia

KUALA LUMPUR 19 Okt – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata harga beras import India akan bergantung kepada hasil perbincangan dengan kerajaan negara itu, yang bersetuju mengeksport semula makanan ruji itu ke Malaysia.
“Kita akan lihat dulu berapa harganya sebelum membuat apa-apa perubahan sebab sekarang baru peringkat persetujuan dan akan ada peringkat rundingan harga dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas majlis pra pelancaran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan di Menara LPP.
Sebelum ini, Kementerian Ekonomi berkata harga beras putih import ditentukan oleh negara pengeksport, menurut infografik menjelaskan kenaikan harga makanan ruji itu di X.
Harga beras dunia naik mendadak seawal Januari 2023, dengan pengeluaran dan bekalan beras dilaporkan terganggu akibat perubahan iklim dunia.
Pada 1 Sept lalu, Padiberas Nasional Bhd menyelaraskan harga jualan beras putih import daripada RM2,350 satu tan kepada RM3,200 satu tan, sejajar harga di pasaran antarabangsa ketika itu.
India baru-baru ini membenarkan eksport beras putih bukan basmati yang tersadai di pelabuhannya. Pada 20 Julai lalu ia melarang eksport beras putih bukan basmati yang digunakan secara meluas bagi mengawal kenaikan harga domestik.
Mengulas perkembangan lain, Mohamad berkata tarikh pelaksanaan pengapungan harga ayam dan telur akan diumumkan pada 30 Okt ini.
Beliau berkata perbincangan mengenai harga pengapungan masih sedang berjalan dengan pihak industri, khususnya pengeluar ayam dan telur.
“Pihak ketua setiausaha Kementerian sedang memainkan peranan untuk membuat pertemuan supaya harga nanti berada dalam keadaan kenaikan tidak begitu mendadak,” katanya.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Jumaat mengumumkan kerajaan menimbang untuk mengapungkan harga telur dan ayam tidak lama lagi selepas mendapati bekalan kedua-dua sumber makanan kini stabil. – FMT