Ingkar larangan, 5 sesat di Bukit Kledang
Lima lelaki berusia 33 hingga 67 tahun itu mengingkari arahan memasuki kawasan hutan simpan itu tanpa kebenaran sebelum dilaporkan hilang Sabtu lalu

KUALA LUMPUR 18 Dis – Polis akan merujuk kes lima individu yang terselamat selepas sesat ketika mendaki Bukit Kledang di Ipoh kepada Jabatan Perhutanan untuk tindakan lanjut.
Difahamkan, lima lelaki berusia 33 hingga 67 tahun itu mengingkari arahan memasuki kawasan hutan simpan itu tanpa kebenaran sebelum dilaporkan hilang Sabtu lalu.
Operasi mencari dan menyelamat dijalankan sejak kelmarin, tetapi lima individu itu berjaya turun dari bukit berkenaan dalam keadaan selamat kira-kira 7.30 malam Ahad.
Ketua Polis Ipoh, Yahaya Hassan berkata, mereka mengingkari arahan memasuki kawasan hutan tanpa kebenaran daripada Jabatan Perhutanan, khasnya ketika musim tengkujuh berdasarkan notis pemakluman jabatan itu pada 1 Nov lalu.
“Maklumat kehilangan lima pendaki itu diterima polis 11.43 malam Sabtu daripada rakan mereka yang memaklumkan mereka belum turun dari bukit berkenaan sejak memulakan pendakian 2 petang hari sama.
“Pendaki terbabit menghantar koordinat kedudukan mereka melalui telefon bimbit dan diminta kekal di lokasi koordinat asal, sementara menunggu ketibaan bantuan pasukan penyelamat.
“Bagaimanapun, kira-kira 7.30 malam (tadi) kelima-lima pendaki itu turun ke kaki bukit dalam keadaan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan,” katanya menurut Harian Metro.
Jabatan Perhutanan Perak mengeluarkan notis penutupan semua laluan pendakian dan aktiviti rekreasi dalam kawasan hutan simpan kekal Perak di laman webnya kerana musim tengkujuh diramalkan berterusan hingga Mac depan.
Penutupan itu berkuat kuasa 1 Nov lalu sehingga dimaklumkan kelak.
Semalam, FMT melaporkan lima pelari dari Silvercity Hash House Harriers hilang di Bukit Kledang selepas aktiviti bulanan mereka pada petang Sabtu lalu.
Susulan itu, operasi mencari dan menyelamatkan dilancarkan polis Ipoh serta Jabatan Bomba dan Penyelamat lewat malam Sabtu. – FMT