Ini punca sebenar Aerotrain KLIA kerap rosak
Usia Aerotrain KLIA yang beroperasi sejak 25 tahun lalu itu menyebabkan prestasi dan fungsi asetnya merosot

KUALA LUMPUR 15 Nov – Faktor aset yang sudah melebihi jangka hayat 20 tahun, menjadi punca utama kemudahan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sering berdepan masalah kerosakan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata usia pengangkutan yang beroperasi sejak 25 tahun lalu itu menyebabkan prestasi dan fungsi asetnya merosot.
“Jangka hayatnya yang melebihi 20 tahun, menyebabkan kebanyakan komponen alat ganti sudah tiada lagi bekalan dalam pasaran,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai punca utama kerosakan kemudahan Aerotrain KLIA, nama syarikat yang bertanggungjawab, dan apa penyelesaiannya.
Bagi mengatasi masalah itu, Loke menjelaskan, pelan penggantian Aerotrain baharu dilaksanakan yang mana kontrak bernilai RM742.95 juta telah dianugerahkan kepada Pestech Technology Sdn Bhd (PTSB).
Namun berdasarkan situasi terkini, beliau berkata, Ahli Lembaga Pengarah Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) membuat keputusan untuk menamatkan kontrak itu disebabkan pelanggaran kontrak oleh pihak syarikat.
“Keputusan ini diambil selaras dengan prinsip tadbir urus MAHB dan berdasarkan pemantauan rapi pembangunan progresif projek ‘Automated People Mover’ (APM) oleh pihak pengurusan MAHB serta perunding bebasnya.
“MAHB sudah mengadakan rundingan serta perbincangan dengan semua pemegang taruh sedia ada yang terbabit dalam projek APM untuk tujuan kesinambungan dan demi mengurangkan sebarang kelewatan.
“Usaha diambil termasuk bekerja secara rapat dengan semua pihak berkaitan dalam kerja penggantian sistem dan landasan, serta mengenal pasti kontraktor pihak ketiga yang berpengalaman dan berwibawa untuk memastikan semua komponen projek APM dapat terus berjalan dengan konsisten,” katanya.