(VIDEO) ‘Ini saja Along mampu’, lelaki sanggup tambah hutang hadiahkan ayah motosikal
Ayah lelaki berkenaan turut terharu dihadiahkan motosikal berkenaan

KUALA LUMPUR 21 Ogos – Memang tidak dinafikan tiada apa yang mampu membalas pengorbanan ibu ayah membesarkan anak-anak dari kecil hinggalah dewasa.
Namun, apa yang boleh dilakukan oleh insan bergelar anak adalah cuba menggembirakan hati kedua ibu bapa mereka biarpun tidak melibatkan barangan mewah.
Baru-baru ini tular video di laman Tik Tok, Renzthat yang memaparkan seorang lelaki cuba menggembirakan hati ayahnya dengan menghadiahkan motosikal baharu biarpun terpaksa berhutang.
View this post on Instagram
Dalam video berkenaan, lelaki itu pada awalnya ingin memberi kejutan kepada ayahnya dengan mengatakan motosikal yang diletakkan di hadapan rumah adalah milik rakannya.
Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, lelaki berkenaan terus menyerahkan kunci kepada bapanya yang masih terkejut dengan pemberian itu.
“Eh kamu beli macam mana? Beli motor baru buat apa? Kamu bayar macam mana ni?,” soal bapa berkenaan yang kelihatan seperti enggan menyusahkan anak sulungnya itu.
“Tapi Along hutang la. Ayah seronok tak? Ini je yang Along mampu bagi,” jawab lelaki berkenaan.
Bapa lelaki itu yang pada awalnya kelihatan tegas dan garang akhirnya ‘kalah’ dengan kasih sayang anaknya itu yang risaukan keselamatannya menunggang motosikal lama.
Warganet yang menonton video berkenaan turut sebak apabila melihat reaksi bapanya yang gagal menahan rasa terharu selain berkongsi rasa syukur masih dapat menggembirakan ibu bapa.
“Itulah ayah. Dia sedih, gembira, terharu, sebak. Dia pandai kawal perasaan dia, dia tak tunjuk. Sama la kita yang lelaki ni,” kata Danish.
“Macam abah saya, kami adik beradik hadiahkan motosikal hari jadi dia. Dah dapat tu gembira je esok lusa tanya macam mana bayar, berapa sebulan. Siapa handle bulanan,” kata SHS.
“Bapak bapak punya reaksi memang gitu. Dia akan pertikaikan segala hal tapi sebenarnya dia suka apa yg kita bagi,” kata Leen. — Xklusif