Insiden di Putra Heights tegaskan kepentingan insurans perumahan.

Letupan gas yang berlaku di Putra Heights pada 1 April lalu, yang memusnahkan puluhan kediaman, menjadi peringatan jelas kepada pemilik rumah tentang pentingnya mempunyai perlindungan insurans untuk rumah dan kandungan di dalamnya bagi mengurangkan kerugian akibat bencana yang tidak dijangka.
Kebakaran yang tercetus pada jam 8.10 pagi itu menyaksikan api marak setinggi lebih 30 meter, dengan suhu mencecah lebih 1,000°C, memusnahkan harta benda dan kenderaan dalam lingkungan 500 meter. Hampir lapan jam diperlukan untuk memadamkan api sepenuhnya.
Seramai 1,254 orang daripada 308 keluarga terjejas, dengan kerosakan harta kediaman dianggarkan bernilai sekitar RM65 juta.
Tragedi ini menjadi peringatan jelas bahawa kejadian tidak dijangka boleh berlaku pada bila-bila masa, sekali gus menekankan kepentingan memiliki insurans menyeluruh untuk memberikan perlindungan kewangan terhadap insiden malang seperti ini.
Berikut adalah tiga jenis perlindungan insurans yang tersedia untuk pemilik rumah:
Polisi Pemilik Rumah
Menurut Persatuan Insurans Am Malaysia, polisi ini merupakan perlindungan menyeluruh yang merangkumi struktur fizikal rumah terhadap risiko seperti kebakaran, panahan petir, bencana alam, paip pecah dan juga letupan.
Ketua Pegawai Eksekutif persatuan tersebut, Chua Kim Soon, berkata dalam kes insiden Putra Heights, polisi pemilik rumah akan meliputi kerosakan akibat letupan, dengan pampasan berdasarkan kos membina semula.
“Untuk tujuan tuntutan, mereka perlu mendapatkan kelulusan bertulis daripada pihak penanggung insurans sebelum menjalankan sebarang kerja pembaikan rumah, termasuk kerja kecemasan, kerana kerja yang dijalankan tanpa kebenaran mungkin tidak dilindungi oleh polisi dan sijil pemilik rumah,” katanya kepada Bernama.
Bank lazimnya mewajibkan pemilik rumah mengambil insurans pemilik rumah sebagai sebahagian daripada perjanjian pinjaman perumahan. Bagi kediaman jenis kondominium atau apartmen, badan pengurusan bersama diwajibkan untuk mengambil polisi induk bagi perlindungan insurans rumah.
Polisi pemilik rumah dianggarkan berharga purata RM382 setahun untuk flat dan apartmen, serta RM377 untuk rumah bertanah. Harga premium bergantung kepada jumlah nilai perlindungan yang diinsuranskan bagi rumah tersebut.
Polisi Pemilik Harta (Householder Policy)
Polisi ini melibatkan perlindungan terhadap kandungan rumah, bagi melindungi daripada kerugian atau kerosakan akibat insiden seperti kebakaran, kecurian, dan bencana alam tertentu.
Tidak seperti polisi pemilik rumah yang diwajibkan apabila melibatkan pinjaman perumahan, polisi pemilik harta adalah pilihan dan boleh dibeli secara berasingan dengan harga purata sekitar RM142. Harga premium bergantung kepada jumlah nilai perlindungan yang diinsuranskan.
Malangnya, polisi pemilik harta sering diabaikan disebabkan kurangnya kesedaran. Akibatnya, ramai pemilik rumah yang terjejas mungkin tidak dilindungi sekiranya berlaku insiden tidak dijangka seperti letupan di Putra Heights.
Insurans Kebakaran
Menurut Chua, insurans kebakaran asas atau standard merangkumi kerosakan akibat kebakaran, panahan petir, atau letupan yang berpunca daripada penggunaan gas domestik.
“Bagi kerosakan akibat letupan yang bukan berpunca daripada gas domestik, perlu mendapatkan perlindungan tambahan yang boleh dibeli secara pilihan,” katanya, sambil menjelaskan bahawa pampasan diberikan berdasarkan kos pembinaan semula.
Secara umumnya, insurans kebakaran tidak diwajibkan untuk pemilik rumah kecuali jika disyaratkan oleh pihak bank dalam pinjaman perumahan.
Kadar Pengambilan Insurans
Menurut Jabatan Perangkaan, daripada 9.1 juta isi rumah pada tahun 2024, hanya 3.88 juta polisi insurans kebakaran dan rumah direkodkan, menunjukkan kadar pengambilan sebanyak 42.6%.
Sebagai perbandingan, terdapat 8.88 juta isi rumah pada tahun 2023, dengan 3.89 juta polisi insurans kebakaran dan rumah direkodkan, bersamaan kadar pengambilan 43.8%.
Chua menegaskan bahawa angka ini menunjukkan lebih separuh daripada isi rumah di Malaysia masih tidak dilindungi daripada kerosakan struktur yang berpunca daripada kebakaran, banjir, cuaca ekstrem dan insiden tidak dijangka yang lain.