Berita

Insiden perlanggaran kapal, MT CERES I ditemui cuba dilarikan

Insiden perlanggaran kapal tangki MT HAFNIA NILE dan kapal tangki MT CERES I yang memasuki hari ketiga diteruskan dengan penemuan kapal MT CERES I yang dilaporkan meninggalkan lokasi kejadian semalam.

Berdasarkan laporan yang diterima, kapal tangki MT CERES I yang berdaftar dari Sao Tome and Principe telah ditemui di kedudukan 28 batu nautika timur laut Pulau Tioman dengan dua buah bot tunda sedang menunda kapal tersebut.

Kapal peronda luar pesisir (OPV) KM PEKAN milik Maritim Malaysia telah berjaya mengesan dan memintas kapal tangki MT CERES I pada sekitar pukul 1.20 pagi tadi dan turut menahan kedua-dua buah bot tunda terbabit yang disyaki terlibat dalam membawa lari kapal tangki MT CERES I.

Kesan tompokan minyak akibat dari insiden perlanggran dua buat kapal tersebut

Pihak Maritim Malaysia dengan kerjasama pihak Jabatan Laut Malaysia (JLM) akan melaksanakan siasatan lanjut insiden kejadian dengan penemuan semula kapal MT CERES I ini.

Sementara itu, hasil tinjauan udara pesawat amfibia Bombardier CL 415 MP milik Maritim Malaysia yang telah menjalankan tinjauan udara semalam menemui sedikit kesan tumpahan minyak di lokasi kejadian.

Pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut dimaklumkan mengenai penemuan ini dan akan melakukan pemantauan lanjut dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan

Back to top button