Berita

Intan Serah minta maaf kepada Kim Pan-gon

Tindakan itu berlaku kerana dia tidak mengawal emosi hingga terkeluarnya ciapan sedemikian

KUALA LUMPUR 27 Jan – Pemain bola sepak wanita kebangsaan, Intan Serah tampil memohon maaf kerana mengkritik percaturan Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon aksi terakhir Piala Asia 2023 berdepan Korea Selatan.

Menerusi satu perkongsian di laman Instagram, Intan atau nama sebenarnya Intan Serah Anisah Zulgafli berkata, tindakan itu berlaku kerana dia tidak mengawal emosi hingga terkeluarnya ciapan sedemikian.

“Ia adalah saat emosi mengawal saya di mana ciapan itu dilakukan ketika perlawanan, saya minta maaf atas apa yang saya katakan.

“Tetapi saya akui salah saya dan saya hormat semua orang terutamanya pemain dan jurulatih KPG. Selamat maju jaya dan buat yang terbaik untuk perlawanan seterusnya,” kata Intan Serah.

Terdahulu, menerusi hantaran di aplikasi X sebelum ini, Intan Serah telah mengkritik Pang-gon kerana tidak memasukkan Safawi Rasid selepas mengeluarkan penyerang utama, Darren Lok dan memasukkan Paulo Josue.

Bagaimanapun, Josue menjadi watak penting apabila melakukan hantaran gol yang disudahkan Romel Morales untuk gol penyamaan 3-3 pada minit akhir perlawanan.

Dalam pada itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan memanggil Intan Serah susulan tindakan pemain itu mengkritik jurulatih kebangsaan itu secara terbuka menerusi platform X.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman menjelaskan Intan Serah tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sebegitu apatah lagi dengan statusnya sebagai pemain kebangsaan. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button