Politik

Isham Jalil diharap ada keberanian datang mesyuarat MKT – Ahmad Zahid

Isham sebelum ini sudah tiga kali tidak hadir ke mesyuarat MKT UMNO.

KUALA LUMPUR 6 Dis. – Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi berharap Isham Jalil dapat hadir ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada malam ini untuk menyuarakan pendapatnya.

Menurut Ahmad Zahid, apa sahaja pendapat boleh disuarakan dalam mesyuarat MKT dan dia berharap Isham mempunyai keberanian untuk hadir.

“Kalau ada pendapat lain, boleh suarakan. Dia sudah tak datang (mesyuarat MKT) tiga kali.

“Mudah-mudahan dia ada keberanian untuk datang malam ini bagi menyuarakan pendapat yang disanggahnya sendiri apabila kita mahu jalin kerjasama dengan Pakatan Harapan untuk kerajaan perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan penyampaian sumbangan tabung kemanusiaan bagi rakyat Palestin oleh 99 Speedmart Sdn Bhd dan Wanita Umno di Bangunan Perdana Putra yang turut disiarkan di laman Facebook rasminya.

Semalam, Isham menerusi kenyataannya berkata segelintir pemimpin UMNO yang dilihat beria-ia ‘menjilat’ DAP didakwa menjadi punca kekalahan parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman yang lalu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil berkata, perkara itu yang membuatkan orang Melayu menolak UMNO yang dilihat sudah jauh tersasar daripada perjuangan sebenar.

Mesyuarat MKT UMNO dijadual diadakan 8.30 malam ini di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). — Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button