Dunia

Israel makin gila, bedil masjid di Tebing Barat

Serangan udara itu adalah yang kedua dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini, yang menyaksikan peningkatan ketara keganasan

RAMALLAH 22 Okt – Pesawat Israel hari ini, menyerang perkarangan sebuah masjid di Tebing Barat, menyebabkan sekurang-kurangnya seorang terbunuh.

Serangan udara itu adalah yang kedua dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini, yang menyaksikan peningkatan ketara keganasan.

Israel mendakwa ruang bawah tanah di perkarangan Masjid al-Ansar, di kem pelarian Jenin, dijadikan markas pejuang Hamas dan Jihad Islam Palestin, yang bertanggungjawab melakukan serangan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

“Risikan yang diterima baru-baru ini menunjukkan bahawa serangan sedang diatur” kata tentera dalam satu kenyataan.

Tentera mengeluarkan imej yang menunjukkan pintu masuk ke kubu di bawah masjid, selain gambar yang dikatakan menunjukkan tempat senjata disimpan di sana.

Kem pelarian Jenin, kubu kuat Palestin, menjadi tumpuan operasi ketenteraan besar Israel awal tahun ini.

Rakaman di media sosial, menunjukkan adegan serangan udara dan lubang di salah satu dinding luar masjid, dikelilingi oleh serpihan, dengan puluhan rakyat Palestin dilihat menilai kerosakan.

Perkhidmatan ambulans Bulan Sabit Merah Palestin berkata sekurang-kurangnya seorang warga Palestin terbunuh dan tiga lagi cedera.

Khamis lalu, tentera Israel berkata ia menyerbu dan melakukan serangan udara di kem pelarian berhampiran pusat bandar Tulkarm.

Tentera berkata, serbuan itu sebahagiannya bertujuan untuk menangkap suspek dan merampas senjata.

Penduduk Palestin berkata sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh. – REUTERS

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button