Dunia

Israel silap besar kalau rampas bumi Gaza – Biden

Dalam temu bual dengan "60 Minit" CBS semalam, Biden berkata Hamas dan unsur-unsur ekstrem Hamas tidak mewakili semua rakyat Palestin

KUALA LUMPUR 16 Okt – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengakui bahwa akan menjadi suatu kesilapan besar sekiranya Israel bertindak untuk merampas  Semenanjung Gaza.

Dalam temu bual dengan “60 Minit” CBS semalam, Biden berkata Hamas dan unsur-unsur ekstrem Hamas tidak mewakili semua rakyat Palestin.

“Saya fikir ia akan menjadi satu kesilapan besar. Hamas tidak mewakili semua rakyat Palestin.

“Namun serangan dan mengusir pelampau adalah satu keperluan,” katanya ketika ditanya jika dia  menyokong tindakan sekutu AS itu merampas Gaza.

Israel telah memberi isyarat bahawa ia sedang bersiap untuk bertindak  selepas Hamas  bertindak mengaktifkan Operasi Taufan Al-Aqsa 7 Oktober lalu.

Serangan itu menyaksikan lebih 1,400 orang terkorban, manakala tindak balas rejim Yahudi itu pula menyebabkan sekurang-kurangnya 2,670 penduduk di Gaza, terbunuh.

Susulan itu, lebih sejuta penduduk di utara Gaza juga diberi amaran supaya bergerak ke selatan.

Biden semasa temu bual itu, juga bersetuju bahawa Hamas yang dilabelkannya sebagai kumpulan pengecut, perlu dihapuskan sepenuhnya.

“Ya saya setuju tetapi wujud keperluan adanya pihak berkuasa Palestin dan laluan ke arah negara Palestin,” katanya ketika ditanya jika Hamas perlu dihapuskan sepenuhnya.

Biden turut mengulangi gesaan AS bagi penyelesaian dua negara. Ketika ditanya sama ada tentera AS akan menyertai perang itu, Biden bagaimanapun berkata, pihaknya tidak melihat wujudnya keperluan berkenaan.

“Saya rasa itu tidak perlu kerana Israel ada pasukan tentera terbaik. Saya memberi jaminan kami akan menyediakan semua yang mereka perlukan,” katanya.

Biden juga menggesa supaya orang awam dilindungi, dan memberi jaminan AS akan berusaha untuk membantu mengurangkan masalah kekurangan makanan, air dan bekalan gas.

AS sebelum ini, telah  mengerahkan dua kapal pengangkut yang membawa pesawat ke timur Mediterranean sebagai tanda sokongan kepada Israel. – Agensi

Artikel Berkaitan

Back to top button