Berita

Isteri keluar berniaga burger, suami di rumah rogol 2 anak tiri

Tangkapan dibuat selepas pihak polis menerima laporan yang dibuat oleh ibu mangsa di Balai Polis Batang Tiga pada pukul 9.27 malam hari sama

MELAKA 10 Jan – Seorang pengawal keselamatan diberkas polis selepas dipercayai merogol dua anak tirinya masing-masing berusia 15 dan 13 tahun sejak lima tahun yang lalu.

Suspek yang berusia 27 tahun diberkas di tempat kerjanya di sebuah hospital kerajaan kira-kira pukul 11 malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Md. Nazri Zawawi berkata, tangkapan dibuat selepas pihak polis menerima laporan yang dibuat oleh ibu mangsa di Balai Polis Batang Tiga pada pukul 9.27 malam hari sama.

“Hasil soal siasat, pengadu iaitu ibu kepada mangsa merupakan seorang peniaga burger di Tanjung Kling dan telah berkahwin dengan suspek sejak tujuh tahun lalu.

“Semalam kira-kira pukul 7.30 petang, kedua-dua beradik itu mengadu kepada ibu mereka bahawa telah diraba dan dirogol oleh suspek selepas pengadu keluar dari rumah untuk berniaga antara pukul 5.30 petang sehingga 10.30 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, pengadu kemudiannya telah bertanya kepada suspek mengenai dakwaan tersebut tetapi dinafikan.

“Mangsa berusia 15 tahun mendakwa telah dirogol suspek sebanyak empat kali pada hari yang berbeza dan sering diraba sejak darjah empat lagi.

“Adiknya pula turut beritahu telah diraba sejak sekolah rendah, namun pada 2 Januari lalu suspek telah menyuruhnya masuk ke dalam bilik sebelum meraba dan merogolnya pada pukul 9 malam,” katanya.

Ujarnya, kedua-dua mangsa bagaimanapun tidak memberitahu kejadian tersebut kepada sesiapa kerana khuatir ibu mereka tidak mempercayainya.

Tambahnya, kedua-dua beradik itu hanya menceritakan hal tersebut kepada nenek mereka setelah wanita berkenaan bertanyakan hubungan dengan suspek.

“Suspek kini direman selama sehingga 16 Januari depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan,” katanya. – Kosmo Online

Artikel Berkaitan

Back to top button