Isu DNAA Zahid: JKPK mungkin panggil saksi lain
JKPK akan berbincang bagi menentukan isu dan saksi-saksi yang harus dipanggil selain Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun

KUALA LUMPUR 14 Sept – Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi mungkin memanggil saksi lain selain Peguam Negara dan bekas Peguam Negara ketika prosiding berkaitan keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK), William Leong Jee Keen, berkata pihaknya akan berbincang bagi menentukan isu dan saksi-saksi yang harus dipanggil selain Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.
“Sebenarnya tidak ada jangkaan berapa lama tempoh masa prosiding akan diadakan kerana berkemungkinan terdapat saksi lain yang akan dipanggil,” katanya kepada BH, hari ini.
William yang juga Ahli Parlimen Selayang berkata, penjelasan berkaitan keputusan DNAA Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan berkait Yayasan Akalbudi oleh Peguam Negara dan bekas Peguam Negara akan dibuat mengikut terma rujukan serta Peraturan Mesyuarat di Parlimen.
Katanya, selepas mendengar penjelasan lanjut daripada Ahmad Terrirudin dan Idrus berkaitan isu berkenaan, barulah pihaknya akan membentangkan hasil dan syor berkaitan kepada Dewan Rakyat.
Kelmarin, William memaklumkan JKPK Ke-15 Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi akan memanggil Ahmad Terrirudin dan Idrus untuk beri penjelasan lanjut berkaitan isu berkenaan.
Menerusi Peraturan Mesyuarat, sesebuah Jawatankuasa Pilihan atau Jawatankuasa Khas berkuasa memanggil orang hadir di hadapannya atau meminta dikeluarkan surat-surat dan boleh mengeluarkan penyata kepada Majlis (Dewan Rakyat) yang mengandungi fikiran dan pandangannya serta butir keterangan yang diberikan.
Cukup bilang sesebuah Jawatankuasa Khas hendaklah tiga orang, termasuk Pengerusi kecuali jika Majlis memerintahkan boleh lebih atau kurang daripada itu.
Apabila hendak disoal mana-mana saksi, ahli Majlis hendaklah menghantar kepada Setiausaha suatu senarai mengandungi nama, alamat dan pekerjaan saksi sekurang-kurangnya 10 hari sebelum prosiding.
Kelmarin, William di Parlimen memaklumkan JKPK Ke-15 Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi akan memanggil Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dan bekas peguam negara, Tan Sri Idrus Harun untuk beri penjelasan lanjut berkaitan isu berkenaan.
Isu berkaitan DNAA terhadap Ahmad Zahid dibangkitkan semula oleh Ahli Parlimen pembangkang sebaik Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mempengerusikan sidang Dewan Rakyat.
Jumaat lalu usul tergempar dibawa Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) bagi meminta sidang Dewan Rakyat ditangguhkan mengikut Perkara 18(1) dan (2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat untuk memohon penjelasan Peguam Negara mengenai keputusan DNAA mahkamah terhadap Ahmad Zahid.
Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menolak usul tergempar berkenaan.
Pada 4 September lalu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada 47 pertuduhan membabitkan Yayasan Akalbudi selepas Pejabat Peguam Negara (AGC) membuat permohonan. – Berita Harian