Berita

Isu HRD Corp belum diklasifikasi skandal besar, tunggu penjelasan Menteri – Fahmi Fadzil

Penemuan prosedur ‘ketidakteraturan’ dalam pengurusan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) seperti disebut dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) semalam belum masanya untuk diklasifikasikan sebagai skandal besar, kata jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga menteri komunikasi berkata perkara itu perlu diteliti dan memberikan ruang kepada Ahli Parlimen untuk membahaskannya di Dewan Rakyat pada minggu hadapan.

“Kita belum ada maklumat penuh mengenai isu yang berkait HRD Corp seperti yang disebut tadi.

“Tetapi mungkin perlu penelitian dulu dan kita beri ruang kepada Ahli Parlimen untuk bahas dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim untuk memberi jawapan di Parlimen dahulu,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri, lapor portal FMT.

Semalam, Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, dalam LKAN 2/2024, berkata Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) disyorkan merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan ekoran kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dibuat.

Wan Suraya berkata, terdapat tindakan serta keputusan yang diambil pengurusan HRD Corp tidak mematuhi prosedur dan tidak menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat.

Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pula mendedahkan panel pelaburan HRD Corp tidak melaporkan aktiviti pelaburannya kepada Ahli Lembaga Pengarah.

Mengulas mengenai isu itu, Ketua Setiausaha Kesuma Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud hari ini berkata tiada pegawai HRD Corp) digantung susulan penemuan prosedur ‘ketidakteraturan’ dalam LKAN.

Khairul berkata pegawai hanya akan digantung jika siasatan dalaman dilakukan.

Artikel Berkaitan

Back to top button