Berita

Isu Palestin: PM patut lantik Tun M jadi Menteri Mentor

KJ merasakan tahap keseriusan Tun M lebih besar di peringkat antarabangsa bila melibatkan isu Palestin.

KUALA LUMPUR 17 Nov. – Khairy Jamaluddin berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim sepatutnya melantik Dr Mahathir Mohamad (Tun M) sebagai menteri mentor untuk mewakili Malaysia membawa isu Palestin di peringkat antarabangsa.

Mengakuinya sukar berlaku, bekas menteri kesihatan itu berkata kehadiran Mahathir yang terkenal dengan kelantangannya dalam isu terbabit selama ini pasti memberi tarikan pada Sidang Kemuncak Tergempar Negara-Negara Anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Riyadh, Arab Saudi, minggu lalu.

“Untuk meletakkan Malaysia di peta dunia dalam hal ini (isu Palestin)…mungkin amalan di luar kelaziman selain di luar kotak, Anwar boleh melantik Mahathir sebagai menteri mentor yang dihantar ke Riyadh mewakili Malaysia

“Kita kena akui bila Malaysia pergi ke persidangan OIC kalau pemimpin biasa tahap gravitas (keseriusan) lain tetapi dalam isu Palestin kalau Mahathir masuk dewan itu…tahap gravitas lain sedikit (lebih tinggi),” katanya pada siaran podcast Keluar Sekejap bersama bekas ketua penerangan Umno Shahril Hamdan.

Pada sidang itu, Anwar yang mewakili Malaysia menggesa anggota OIC mendesak pelaksanaan gencatan senjata serta-merta dan menyegerakan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.

Beliau turut mendesak semua pihak mencabuli undang-undang antarabangsa termasuk melakukan jenayah perang disiasat dan diheret ke mahkamah menerusi institusi antarabangsa.

Sementara itu, Khairy yang juga bekas ketua Pemuda Umno mahu dunia Islam memajukan bidang sains dan teknologi untuk mengelakkan terlalu bergantung kepada Barat sehingga terperangkap dalam konflik seperti di Palestin.

Khairy berkata genosid atau pembunuhan beramai-ramai di Gaza oleh rejim Zionis harus menjadi iktibar kepada pemimpin dunia Islam supaya mencari alternatif bukan hanya mendesak gencatan senjata atau sekatan ekonomi atau minyak dan gas.

Menurutnya, ketika ini majoriti negara Islam dilihat terlalu mengikut rentak dan naratif di negara Barat yang berlaku disebabkan ketinggalan dalam bidang sains dan teknologi.

“Selepas isu yang berkaitan Palestin, kalau ada satu perkara yang dunia Islam harus labur adalah sains dan teknologi demi masa depan bukan sahaja sekarang, ia mampu menjadi satu senjata ampuh termasuk untuk mengejar Barat,” katanya.

Serangan berterusan tentera Israel sejak lima minggu lalu telah mengorbankan lebih 11,000 penduduk Gaza termasuk sekurang-kurangnya 4,600 kanak-kanak. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button