Berita

Isu pengampunan Najib tak dibincang dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini

Kerajaan tidak boleh mendahului proses dan perkara mengenainya diserahkan kepada Lembaga Pengampunan


PUTRAJAYA 10 Jan – Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini tidak membincangkan isu Lembaga Pengampunan membabitkan permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan tidak boleh mendahului proses dan perkara mengenainya diserahkan kepada Lembaga Pengampunan.

“Kita tak bincang dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, tapi lazimnya kita tidak boleh mendahului proses, kita serah Lembaga Pengampunan untuk itu,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Jemaah Menteri di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Lembaga Pengampunan dijadual akan membuat keputusan berhubung permohonan Najib untuk mendapatkan pengampunan pada akhir bulan ini.

Menurut laporan itu, permohonan oleh bekas perdana menteri yang sedang dipenjarakan tersebut akan didengar dalam sesi lembaga yang dijadualkan pada minggu ketiga Januari.

Dalam perkembangan lain, Fahi berkata, kerajaan dijangka akan mengumumkan peralihan satu rangkaian borong kepada dwi rangkaian dalam tempoh sebulan susulan liputan kawasan berpenduduk (CoPA) 5G yang kini mencecah 80.2 peratus.

Katanya, pengumuman itu akan dibuat oleh Jemaah Menteri selepas menerima hasil mesyuarat oleh Pasukan Petugas Khas 5G pada Jumaat ini. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button