Berita

Isu seksual babit remaja membimbangkan, kerajaan cadang tambah waktu pembelajaran reproduktif

Cadangan itu akan dibawa oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri pada mesyuarat Kabinet akan datang.

KUALA LUMPUR 27 Julai – Kerajaan bercadang menambah waktu pembelajaran reproduktif di sekolah selepas isu perlakuan seksual membabitkan remaja semakin membimbangkan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri, berkata cadangan itu akan dibawa oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri pada mesyuarat Kabinet akan datang.

“Kita lihat permasalahan kebejatan sosial, terutama apabila perlakuan seksual bermula seawal usia 13 tahun dan ini memerlukan beberapa tindakan antara kementerian, antaranya menambah waktu pembelajaran mengenai reproduktif.

“Ia bagi menimbulkan kesedaran kepada murid dan pelajar mengenai kesalahan melakukan kelakuan seksual serta kesan yang akan menimbulkan kebejatan sosial seperti mana saya katakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sosial Negara (MSN) Bil 2 Tahun 2023 di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, isu itu penting untuk dibincangkan di Kabinet supaya langkah drastik dapat diambil bagi menangani masalah sosial berkenaan.

“Permasalahan ini amat membimbangkan dan malang sekali kejadian ini terlalu tinggi di antara negeri-negeri, iaitu di negeri serambi Makkah (Kelantan).

“Ini tentunya bukan soal politik, tetapi masalah sosial yang sebenar dan kita mesti mencari jalan supaya ia dapat dinoktahkan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, mesyuarat turut membincangkan mengenai kemudahan pembukaan akaun bank oleh golongan orang kurang upaya (OKU).

Katanya, Bank Negara Malaysia (BNM) melalui wakilnya sudah bersetuju mengarahkan cawangan bank menyediakan kemudahan untuk golongan itu.

“Ketiga, Jemaah Menteri akan diminta memberi pertimbangan kerana Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan bukan saja perjawatan, malah peralatan canggih bagi memantau kes penipuan dalam talian.

“Untuk itu, kita berasakan tindakan segera perlu dilakukan kerana ia akan menimbulkan masalah sosial cukup besar dengan jumlah kerugian menghampiri RM1 bilion setahun,” katanya.

Sementara itu, Nancy berkata, kertas Kabinet berhubung cadangan mengatasi isu seksual dalam kalangan remaja akan dibawa ke mesyuarat Kabinet dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi.

Katanya, isu seksual membabitkan remaja amat membimbangkan dan ia berdasarkan kaji selidik terhadap golongan itu yang berusia antara 13 hingga 24 tahun serta tidak berkahwin.

“Yang menjadi isu ini kerana mereka (remaja) yang terbabit dalam aktiviti seksual adalah berusia 13 tahun, malah ada lebih muda daripada itu,” katanya.

Berdasarkan kaji selidik yang dikongsikan KPWKM, sebanyak 68.8 peratus remaja berusia 16 hingga 24 tahun pernah melakukan hubungan seks, manakala 31.2 peratus membabitkan remaja berusia 13 hingga 15 tahun. – Berita Harian 

Artikel Berkaitan

Back to top button