Izara Aishah, Nad Zainal sambut cahaya mata
Kedua-dua artis berkongsi berita gembira menerusi akaun media sosial mereka.
KUALA LUMPUR 14 Okt. – Pelakon Izara Aishah dan suami, Adib Khalid berkongsi berita gembira mengenai kelahiran bayi perempuan yang juga cahaya mata kedua mereka.
Berita kelahiran bayi perempuan itu disahkan Adib menerusi ruangan komen di laman Instagram (IG) milik Izara.
“Alhamdulillah, menyambut seorang lagi anak perempuan dalam keluarga kami. Terima kasih untuk doa,” tulisnya.
Menerusi perkongsian di IG juga, pelakon itu turut memuat naik video Adib ketika mendukung anak kedua mereka itu.
Bagaimanapun, Izara tidak memberitahu butiran terperinci mengenai bayinya itu termasuk tarikh bersalin.
Perkongsian Adib dan Izara itu turut mendapat perhatian netizen yang turut mengucapkan tahniah atas kelahiran itu.
Izara dan Adib mendirikan rumah tangga pada 17 November 2017.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan anak pertama iaitu Irisa Alaia, 3 tahun.
Sementara itu, pasangan pelakon Nad Zainal dan Ungku Ismail juga dikurniakan cahaya mata yang dilahirkan menerusi pembedahan.
Berita gembira itu dikongsi Nad atau nama sebenar, Farah Nadia Zainal Abidin, 33, menerusi video dia menjalani tempoh berpantang di sebuah pusat rawatan selepas bersalin yang dimuat naik di IG.
Namun, Nad tidak berkongsi jantina mahupun butiran bayi yang juga anak ketiganya itu.
Nad berkahwin dengan Ungku Usmail pada 23 Januari lalu.
Terdahulu, Nad pernah berkahwin dengan Muhammad Faliq Amirudin pada 18 Disember 2015 sebelum bercerai, September tahun lalu.
Hasil perkongsian hidup dengan Faliq, Nad dikurniakan dua anak iaitu Fahad Ibrahim,7 dan Budi Kalsom, dua tahun. — Xklusif