Berita

J-KOM tidak akan berpindah ke KKD

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching.

KUALA LUMPUR 27 Nov. – Kerajaan tidak berhasrat melakukan perubahan kepada Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) yang kini berada di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching, berkata J-KOM tidak akan dipindahkan kepada Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) kerana ia baru saja berpindah ke JPM pada 2021.

“Keputusan memindahkan JKOM ke JPM dibuat pada 2021 ketika Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) memegang jawatan Perdana Menteri dan Yang Berhormat Indera Mahkota (Datuk Seri Saifuddin Abdullah) adalah Menteri Komunikasi.

“Setakat ini, pendirian Kerajaan Perpaduan adalah J-KOM masih kekal di bawah JPM. Sekiranya pada masa akan datang Perdana Menteri berhasrat pindah balik J-KOM ke Kementerian Komunikasi, kita akan ikut arahan Perdana Menteri,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Lim Lip Eng (PH-Kepong) sama ada J-KOM wajar diletakkan semula ke KKD bagi mengelakkan pembaziran wang, pertindihan tugas dan meningkatkan tatakelola.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim-Bandar Baharu) mengenai langkah pro-aktif bagi membendung sebarang kebocoran maklumat dalam proses siasatan oleh agensi atau badan penguat kuasa, Nie Ching berkata, terdapat prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi.

Katanya, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) perlu mendapatkan waran daripada mahkamah sebelum mengambil mana-mana peranti untuk tujuan siasatan.

“Perkara itu adalah mengikut seksyen 247 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Sejak 2019 hingga tahun ini, sebanyak 226 tablet, komputer riba dan telefon bimbit diambil oleh MCMC untuk tujuan siasatan.

“Biasanya peranti itu akan dipulangkan semula dalam tempoh masa tiga hingga empat bulan sekiranya tiada pendakwaan,” katanya. — Berita Harian

Artikel Berkaitan

Back to top button