BeritaJenayah

Jabatan Kastam gagalkan cubaan seludup dadah bernilai RM3.3 juta

PETALING JAYA: Jabatan Kastam menggagalkan cubaan menyeludup 105kg methamphetamine bernilai RM3.3 juta yang disembunyikan dalam paket teh Cina di sebuah gudang syarikat logistik di Shah Alam, Selangor, pada 15 Okt.

Bernama melaporkan timbalan ketua pengarah kastam (penguatkuasaan dan pematuhan) Ribuan Abdullah sebagai berkata bahawa sekumpulan pegawai telah merampas lima kotak di gudang tersebut selepas menemui paket teh yang mengandungi bahan kristal jernih, dipercayai dadah.

Beliau berkata jabatan itu menganggarkan dadah yang dirampas boleh membekalkan lebih daripada 525,000 orang, dan ia telah disediakan untuk penghantaran ke Keningau, Sabah melalui kurier.

“Berdasarkan jumlahnya, terdapat kemungkinan dadah ini menuju untuk diedarkan di Indonesia di mana harganya empat kali ganda lebih tinggi daripada di Malaysia,” kata Ribuan kepada pemberita.

Beliau berkata setakat ini tiada tangkapan dibuat dan pemeriksaan mendapati alamat penghantar tidak ditulis, manakala maklumat penerima pada kotak tersebut adalah palsu.

Beliau berkata kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan pengedaran dadah berbahaya.

Artikel Berkaitan

Back to top button