Jadi siasatan polis, baik Tun M berehat sahaja
KUALA LUMPUR 4 Jun – Kertas siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kenyataan berunsur penghinaan terhadap institusi diraja adalah bersifat individu dan tidak memberi kesan kepada parti politik.
Penganalisis keselamatan dan politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, siasatan terhadap ahli politik lazimnya tidak akan berkaitan dengan parti.
“Perkembangan semasa kes ini masih lagi bersifat siasatan dan perkara ini prosedur biasa serta tiada kesalahan boleh disabitkan selagi belum terbukti Mathathir bersalah.
“Justeru, parti politik khususnya UMNO juga tidak akan mempunyai kesan terhadap siasatan terbabit,” katanya kepada Xklusif.
Ditanya mengenai pengaruh Mahathir yang semakin berkurangan sehingga menyaksikan penolakan oleh rakyat sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, Nirwandy berkata, sudah tiba masanya untuk beliau merehatkan dirinya.
Jelasnya, memang benar bahawa Mahathir mempunyai hak apatah lagi sebelum ini pernah menjawat jawatan tertinggi negara untuk menentukan hala tuju politiknya.
“Namun secara logiknya, adalah baik serta dinasihatkan supaya Mahathir berehat daripada terus berkecimpung dalam politik atas faktor usia,” katanya.
Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah melengkapkan kertas siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kenyataan berunsur penghinaan terhadap institusi diraja.
Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Saaduddin, dalam kenyataan pada semalam berkata, kertas siasatan tersebut akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada Selasa ini selari dengan peruntukan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.
Noorsiah berkata, siasatan terhadap Dr Mahathir berhubung isu Proklamasi Orang Melayu masih di peringkat siasatan bagi rakaman percakapan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P. Ramasamy.
Sebelum ini, Unit Siasatan Jenayah Terkelas, D5 Bukit Aman telah merakam keterangan Dr Mahathir di Yayasan Albukhary di sini, semalam, bagi membantu siasatan berhubung kenyataan berunsur penghinaan terhadap institusi diraja dan Proklamasi Orang Melayu. — Xklusif